In-Smartive Dan Persatuan Matahari Jayakan Projek Kilauan Mutiara


  

Bandar Bera, 3 Februari – Seramai 52 orang murid tahun 5 dan 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Triang melalui pengalaman menarik berinteraksi dengan 20 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) selama tiga hari dalam Projek Kilauan Mutiara di sekolah tersebut baru-baru ini.

Projek anjuran Kelab In-Smartive UMP dengan kerjasama Persatuan Wanita UMP (MATAHARI) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (SaFFaD) mendapat sokongan Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) SK Kuala Triang.

Pengurus Projek, Mohd Hazwan Hussin, 20 berkata bahawa SK Kuala Triang dipilih menerima manfaat Projek Kilauan Mutiara berdasarkan potensi dan prestasi membanggakan sekolah ini di Daerah Bera.

 “Walaupun terletak di kawasan luar bandar, namun kami kagum dengan komitmen dan semangat tinggi warga pendidik dan pelajar SK Kuala Triang terhadap kemajuan akademik sekolah ini”, ujar mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam  ini lagi.

Beliau menambah bahawa para peserta berpeluang mengikuti pelbagai modul dan aktiviti interaktif sepanjang program ini bagi memperkasa motivasi, jati diri dan daya saing akademik mereka. Ini termasuklah program “Timeline”, “Story Behind The Paper”, “D.I.C.E”, “Kau Boleh!”, “The Burj”, “Menggilap Mutiara” dan “Muhasabah Diri”.

  

Seorang peserta, Muhammad Nafis Naqiuddin Muhamad,12 yang juga Ketua Pengawas SK Kuala Triang mengakui kini beliau lebih berkeyakinan untuk menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada September nanti.

"Antara aktiviti paling seronok ketika menjalankan aktiviti dalam modul Invent!  dan Chopp! . Ianya  mencabar pengetahuan sains dan penggunaan kosa kata Bahasa Inggeris" katanya.

Hadir merasmikan penutupan projek ini ialah Penasihat MATAHARI, Datin Hajah Fazia Ali. Dalam ucapannya, beliau menyarankan supaya Kelab In-Smartive dan SK Kuala Triang terus melestarikan penganjuran projek ini pada masa hadapan.

Datin Hajah Fazia menegaskan bahawa sebagai sebuah pertubuhan sukarela yang berteraskan kebajikan, pihak Matahari sentiasa menyokong sebarang inisiatif yang memberi nilai tambah kepada pembangunan pendidikan dan literasi ilmu, khususnya di kawasan luar bandar seperti Kuala Triang.

Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Guru Besar SK Kuala Triang, Kelsom Mohd Sidin, Pengerusi PIBG SK Kuala Triang, Abdul Majid Kassim, Penasihat Kelab In-Smartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain dan Presiden Kelab In-Smartive, Mohd Jamil Mohd Ja’afar.


Disediakan oleh Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain, Ketua Penyelidik Naib Canselor merangkap Penasihat Kelab In-Smartive dan Pensyarah Undang-undang di Fakulti Teknologi, UMP.

Dimuatnaik oleh Unit Perhubungan Awam & Media,Pejabat Naib Canselor 



Posted By : SYED MOHD HAFIDZ BIN SYED HUSSIN Date Posted : 06-02-2013, 08:59:57