Projek Semaian Budi Kelab In-Smartive Santuni Warga RSK Bedong dan SEMUJI


 

Petani, 23 Januari – Seramai 35 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) memulakan cuti semester ini dengan pengalaman bermakna bersama warga Rumah Seri Kenangan (RSK) Bedong dan pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa (SEMUJI) dekat sini dalam Projek Semaian Budi  anjuran Kelab In-Smartive baru-baru ini.


Bertemakan “Dari Kampus Ke Lapangan Masyarakat”, projek ini mendapat sokongan daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (SaFFad) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah dengan mensasarkan seramai 250 orang warga emas yang menghuni di RSK Bedong dan 150 pelajar SEMUJI yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada akhir tahun ini.

Pengurus Projek Semaian Budi, Muhammad Amin Mohd Faudzi, 21 berkata inisiatif ini juga serampang dua mata pihak Kelab In-Smartive untuk mendekati warga emas yang terlantar di RSK Bedong dan pada masa yang sama membantu pemetaan haluan pasca-SPM kepada para pelajar tingkatan 5 di SEMUJI.

“Pada sebelah siang, para sukarelawan In-Smartive berkhidmat di RSK Bedong menurut rutin yang ditetapkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah hingga jam 5.00 petang manakala pada sebelah malamnya, kami berinteraksi pula dengan pelajar SEMUJI," kata mahasiswa tahun tiga di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal ini.

Tambah Muhammad Amin, amali pengurusan warga emas yang terlantar di RSK Bedong menurut Prosedur Operasi Standard (SOP) JKM ini merupakan pengalaman baharu buat para sukarelawan.

“Mahasiswa dapat melalui sendiri pengalaman menguruskan kebersihan diri dan sanitasi warga emas yang terlantar di sini termasuklah mengerat kuku, menggunting rambut, menyuap makanan dan memandikan mereka," katanya. 

Haffizothul Ommi Aziz, 22, mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli yang juga Timbalan Presiden In-Smartive berkata, walaupun terasa kekok pada mulanya, tetapi keinsafan bahawa warga emas terlibat turut memerlukan perhatian sebagaimana juga ibu bapa sendiri menguatkan semangat di kalangan mahasiswa untuk menyempurnakan cabaran projek ini.

Sementara itu, Penguasa Rumah Seri Kenangan Bedong, Shahrin Nizar Azudin memuji inisiatif yang diambil oleh Kelab In-Smartive melalui Projek Semaian Budi. Malah, beliau menyifatkannya sebagai satu aktiviti yang unik dan belum pernah dilakukan oleh mana-mana Institusi Pengajian Tinggi sebelum ini.

Katanya, program Ini merupakan satu cetusan keberanian para mahasiswa untuk mendekati golongan warga emas terbiar di peringkat akar umbi dan sewajarnya projek ini terus dianjurkan pada masa hadapan.

Projek Semaian Budi diakhiri dengan penyampaian cenderahati yang disampaikan Ketua Penyelidik Naib Canselor yang juga Penasihat In-Smartive Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain kepada Pengetua SEMUJI, Pesol Md Saad dan Penguasa Rumah Seri Kenangan Bedong. 

RSK Bedong adalah sebuah institusi jagaan warga emas yang ditadbir JKM di bawah Akta Orang-orang Papa 1977 [Akta 183] dan Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506] manakala bagi SEMUJI pula ditubuhkan sejak tahun 1974 yang merupakan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Kementerian Pelajaran Malaysia yang turut menerima status Sekolah Kluster Kecemerlangan dan Sekolah Berpretasi Tinggi.


 

Disediakan oleh Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain, Ketua Penyelidik Naib Canselor dan Penasihat In-Smartive yang juga Pensyarah Undang-undang di Fakulti Teknologi UMP dan disunting Unit Perhubungan Awam Bahagian Komunikasi Korporat



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 29-01-2013, 10:02:42