8 Pelajar UMP dipilih calon akhir Ikon Varsiti BH 2012


Kuala Lumpur, 18 Disember - Kumpulan In-Smartive Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan pelajar Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP), Azwan Affandi terpilih antara tiga calon finalis Anugerah Ikon Varsiti BH anjuran akhbar Berita Harian dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini.

Kumpulan In-Smartive ini membabitkan seramai tujuh pelajar dari Kelab Insmartive yang terdiri daripada Nur Rahimah Mohd Sofyan, Nurul Farhana Abu Kasim, Nor Atikah Salleh, Mohamad Saidi Ismail, Nor Zaratunaimah Kolan, Ahmad Arif Fauzi, Mohd Jamil Mohd Jaafar dan Haffizothul Ommi Aziz dipilih bagi kategori Projek Khidmat Sosial (CSR) dalam negara.

Manakala Azwan Affandi dicalonkan bagi kategori individu keusahawanan yang bakal bersaing dengan dua calon lain iaitu Nor Suriani Azhar dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa) dan Azizul Ridhuan Wahid dari Universiti Teknologi Mara Arau (UiTM).

Dua kumpulan lain yang bersaing bersama In-Smartive adalah Preparatory Program dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan pasukan Students in Free Enterprise Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Industrial Technology (SIFE UniKL Micet).

Menurut Penasihat Kelab In-Smartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain yang juga pensyarah Fakulti Teknologi berkata, pasukan In-Smartive dipilih berdasarkan komitmen dan sumbangan pasukan ini dalam menjalankan program motivasi dan pelaksanaan program Projek Kilauan Mutiara,Teach Malaysia Teach (TMT) yang dijalankan di sekolah sekitar Pahang.

Bagi Mohd Jamil Mohd Jaafar yang merupakan Presiden Kelab In-Smartive, beliau bersyukur dengan kejayaan pasukan ini yang terpilih antara tiga calon finalis.

“Walaupun belum dinobatkan sebagai pemenang, namun kejayaan sampai ke peringkat akhir ini membuktikan sumbangan pasukannya dihargai dan diiktiraf,” katanya semasa menghadiri Majlis Pengumuman Calon Akhir di Balai Berita baru-baru ini.

Hadir dalam majlis Setiausaha akhbar kepada Menteri Pengajian Tinggi, Prof. Madya Mohd Izani Mohd. Zain, Pengurus Besar Pemasaran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Putri Shireen Syed Othman, Timbalan Pengarah Kumpulan BH, Mahfar Ali dan Pengarang Pendidikan BH, Muhd. Yusof Abu Bakar.

Penganugerahan ini terdiri daripada 14 kategori membabitkan penyertaan secara individu dan berkumpulan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk Kolej Profesional MARA, Institut Kemahiran, Politeknik dan Kolej Komuniti.

Lain-lain anugerah akan dinilai dari aspek kepimpinan, sukan, penyelidikan sains, teknologi agro, kejuruteraan, seni reka, seni bina bangunan, fesyen, projek khidmat komuniti luar Negara, projek inovasi, seminar dan persidangan.

Penganugerahan yang bertujuan melahirkan pelajar IPT yang boleh dijadikan ikon generasi muda hari ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM62,000 bagi semua kategori yang dipertandingkan.

Pengumuman rasmi pemenang akan diumum oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dalam majlis akan bakal diadakan pada 28 Januari tahun hadapan. Pemenang akan dipilih berdasarkan undian umum dan panel yang dilantik.

 

Disediakan Oleh Unit Perhubungan Awam & Media Pejabat Naib Canselor



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 19-12-2012, 16:44:05