UMP Kekal Juara Debat Perdana Gender Dua Tahun Berturut-turut


 

Johor Bahru, 11 Disember - Pasukan Debat Universiti Malaysia Pahang (UMP) mempertahankan kejuaraan dengan terus cemerlang apabila muncul juara Debat Perdana Gender 2012 kategori Bahasa Melayu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini.

Pertandingan dianjurkan NAM Institute for the Empowerment of Women (NIEW), iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Majlis Debat Universiti-universiti Malaysia (MADUM) yang mengangkat isu-isu wanita sebagai topik utama perdebatan.

Pertandingan yang berkonsepkan Parlimen British ini menemukan pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) A (kerajaan), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (kerajaan), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) B (pembangkang) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) (pembangkang ) di pertandingan akhir.

Dengan usul, "Dewan Ini Percaya Wanita Tidak Memerlukan Diskriminasi Positif" berjaya menobatkan UMP yang diwakili Siti Aisyah Mustapha dan Muhammad Qusyairi Hashim sebagai juara. Tempat kedua milik UIAM manakala tempat ketiga dan keempat dimenangi pasukan UKM.

Lebih menarik, pendebat UMP, Siti Aisyah kekal mempertahankan anugerah Pendebat Terbaik untuk dua tahun berturut-turut. Beliau menerima hadiah wang tunai berjumlah RM500 beserta trofi yang disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Harjeet Singh Hardev Singh dan Pengarah NIEW Tan Sri Datul (Dr.) Rafiah Salim.

"Persediaan latihan, banyak membaca serta membuat kajian merupakan resipi buatnya mengekalkan kejohanan ini," katanya yang melahirkan perasaan agak tertekan di permulaan bagi menggalas harapan pasukannya bagi mengekalkan kejohanan. Pasukannya juga membawa pulang wang tunai RM5,000, piala pusingan dan piala iringan dalam kejohanan ini.

Berita dan gambar disediakan oleh Mohd. Ferdaus Musa dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (Saffad) dan disunting Unit Perhubungan Awam, Bahagian Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor.



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 14-12-2012, 09:18:27