Kelab In-Smartive UMP Ceriakan Cuti Persekolahan Pelajar SK Jambu Lawar


 

Machang, 9 Disember - Cuti persekolahan akhir tahun kali ini begitu bermakna bagi seramai 62 pelajar Sekolah Kebangsaan Jambu Lawar (SKJL) dekat sini yang menyertai Projek Kilauan Mutiara kendalian Kelab In-Smartive UMP selama tiga hari baru-baru ini.
Selain menerima kerjasama erat pentadbiran SKJL, projek sulung Kelab In-Smartive di negeri Kelantan ini yang merupakan program terakhir bagi tahun 2012 turut mendapat sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKJL dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Machang.

Sesuai dengan objektifnya untuk meningkatkan tahap keyakinan dan motivasi para peserta yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun hadapan, para peserta dibimbing oleh 20 fasilitator mahasiswa dengan pelbagai modul dan aktiviti interaktif seperti Tingkap Jauhari, Timeline, Story Behind The Paper, D.I.C.E, Chopp!, The Burj, Invent!, Last Man Standing dan Muhasabah Diri dengan mengutamakan pendekatan Latihan Dalam Kumpulan (LDK).

Pengurus Projek, Wan Mohd Syafiq Wan Ismail, 20 yang juga mahasiswa tahun 2 di Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli (FKKSA) berkata, aktiviti yang dijalankan ini memberi fokus kepada lonjakan prestasi peserta dalam subjek Bahasa Inggeris melalui kaedah pembelajaran yang interaktif.

"Keupayaan menembusi pasaran program di Kelantan adalah satu pencapaian signifikan kepada Kelab In-Smartive setelah menerima jemputan sama di Kedah, Perak dan Negeri Sembilan sebelum ini," ujar beliau.

Bagi penerima Anugerah Peserta Terbaik (Lelaki), Mohammad Saiful Bahri Mahdi, 11, banyak pengalaman menarik dan perkongsian ilmu yang diperolehi melalui pelbagai aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program ini.

Rakan sekelas beliau, Azreena Nor Azan, 11 yang menerima Anugerah Peserta Terbaik (Perempuan) turut berkongsi pendapat yang sama. "Saya paling teruja dengan modul Invent! di mana kami diminta oleh fasilitator untuk menyiapkan sendiri sebuah kit saintifik dengan hanya berpandukan rajah yang disediakan," tambah pelajar tahun 5 ini yang bercita-cita menjadi seorang saintis.

 

Sambil menyifatkan Projek Kilauan Mutiara sebagai satu perkongsian pintar yang amat berjaya dalam membentuk kesedaran dan keyakinan diri para pelajarnya, Guru Besar SKJL, Haji Mohd Yusri Yaakob turut berhasrat supaya inisiatif ini diteruskan dalam beberapa siri aktiviti susulan sehinggalah para peserta menduduki peperiksaan UPSR pada tahun hadapan.

Hadir merasmikan penutupan program ialah Penolong Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Machang, Azmi Daud. Dalam ucapannya, beliau turut menyatakan kesediaan pihaknya menjemput Kelab In-Smartive untuk mengendalikan Projek Kilauan Mutiara Perdana untuk calon-calon sasaran cemerlang UPSR melibatkan 29 sekolah rendah sekitar Jajahan Machang.

Turut hadir ialah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Azmi Mat, Penolong Kanan Ko-Kurikulum, Mohd Nor Ismail, Ketua Penyelidik Naib Canselor UMP, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain dan Presiden Kelab In-Smartive, Mohd Jamil Mohd Ja’afar.

Disediakan oleh Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain, Ketua Penyelidik Naib Canselor dan Pensyarah Undang-undang, Fakulti Teknologi merangkap Penasihat Kelab In-Smartive



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 12-12-2012, 17:16:03