80 Pemimpin Pelajar KMTK Sahut Cabaran Kem Interaksi Pemimpin Muda


Kuala Nerang, 29 September – Seramai 80 orang pelajar Kolej Matrikulasi Teknikal Kedah (KMTK) mengikuti Kem Interaksi Pemimpin Muda (IN-TEAM) selama tiga hari anjuran Kelab In-Smartive Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Seri Juluk Resort, Naka baru-baru ini.

Projek sulung Kelab In-Smartive di negeri Kedah ini turut menerima sokongan Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (Saffad), UMP.

Dengan objektif untuk memperkasa sifat kepimpinan, nilai murni dan kualiti kendiri, peserta berjaya menyertai pelbagai modul aktiviti yang interaktif dan mencabar sepanjang IN-TEAM seperti "Tak Kenal Maka Tak Cinta", "Last Man Standing", "The Burj", "D.I.C.E", "Light, Camera, Action!", "Who’s Who" dan "Muhasabah Diri".

Turut mengisi jadual aktiviti ialah sesi perkongsian khas mengenai cabaran penguatkuasaan undang-undang imigresen yang dijayakan oleh Komandan Depot Tahanan Imigresen Juru, Pulau Pinang, Mohd Sabri Zainal.

Menurut Pengurus Projek, Amir Abhar Azmi, kejayaan pelaksanaan semua modul aktiviti sepanjang IN-TEAM adalah hasil komitmen dan kerjasama 27 fasilitator yang terdiri daripada ahli Kelab In-Smartive.

"Inilah kali pertama projek In-Smartive dilaksanakan di Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia dan beberapa siri latihan diadakan sebagai persiapan bagi memastikan kandungan setiap modul dapat disampaikan dengan berkesan kepada semua peserta berteraskan prinsip IN-TEAM iaitu One For All, All For One", kata mahasiswa tahun tiga, Program Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri.

Para peserta yang ditemui melahirkan rasa gembira mereka kerana berjaya menempuh cabaran sepanjang IN-TEAM sebagai satu pasukan dengan pelbagai pengalaman menarik yang sukar dilupakan.

"Pada mulanya saya agak terkejut kerana hanya dihidangkan nasi bersama garam, tetapi apabila diterangkan mengenai perlunya rasa syukur dan merasai kesusahan generasi terdahulu, maka saya memahami bahawa pemimpin yang baik perlu berani membuang ego dan menyerap kepayahan", ujar Darshini A/P Tanabal, yang menerima anugerah Peserta Terbaik (Wanita) IN-TEAM.

Pendapat yang sama turut dikongsi oleh Peserta Terbaik (Lelaki), Mohammad Ashraf Mohd Nazari. \

 

"Melalui pendedahan praktikal yang diterima daripada para fasilitator, kini saya memahami bahawa kepimpinan yang berkesan menuntut kerangka pemikiran positif selain kemahiran komunikasi serta kemampuan untuk mengawal diri dan mengurus tekanan," kata Mohammad Ashraf lagi.

Hadir mewakili Pengarah KMTK bagi menyempurnakan perasmian penutup IN-TEAM dan menyampaikan sijil kepada para ialah Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar KMTK, Amar Shah Ali.

Selain menghargai komitmen komitmen In-Smartive dalam melaksanakan kem ini, Amar Shah turut menyuarakan hasrat pihak KMTK untuk meneruskan kerjasama dengan In-Smartive dalam program latihan dan kepimpinan lain yang melibatkan pelajar kolej ini pada masa akan datang.

Turut sama dalam majlis ialah Ketua Penyelidik Kepada Naib Canselor yang juga Penasihat Kelab In-Smartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain dan Presiden Kelab In-Smartive, Mohd Jamil Mohd. Jaafar.

 


Disediakan oleh Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain, Ketua Penyelidik Kepada Naib Canselor dan Pensyarah Undang-undang, Fakulti Teknologi merangkap Penasihat Kelab In-Smartive



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 02-10-2012, 11:52:34