Datin Seri Rosmah Rasmi Program Selangkah ke Universiti


 

Kuantan, 20 September –Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini merasmikan majlis penutup program Selangkah Ke Universiti anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai tuan rumah pada kali ini.

Program bertujuan memperkasa rakyat melalui usaha meningkatkan kesedaran di kalangan pelajar luar bandar mengenai peluang belajar di menara gading dengan mensasarkan pelajar yang tidak mempunyai ahli keluarga yang pernah belajar di universiti dan mempunyai potensi untuk berjaya bagi memotivasikan diri bagi mencapai kecemerlangan demi mencapai impian bergelar mahasiswa universiti.

Majlis turut dihadiri isteri Menteri Besar Pahang merangkap Yang Di-Pertua TERATAI, Datin Sri Diraja Dato’ Hajah Junaini Kasim, Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim dan isteri, Datin Fazia Ali yang merupakan Penasihat Persatuan Wanita UMP (Matahari) dan Ahli Jawatankuasa Kecil Pendidikan BAKTI merangkap Penyelaras Program Selangkah Ke Universiti 2012 Peringkat Negeri Pahang, Datin N. Saraswathy.

 

Program selama dua hari ini bermula semalam berjaya menghimpunkan seramai 150 pelajar tingkatan empat dari daerah Pekan, Cameran Highlands, Bera, Temerloh dan Bentong untuk merasai pengalaman hidup sebagai mahasiswa di UMP.

Di antara sekolah yang terlibat adalah SMK Sungai Koyan, SMK Indera Shahbandar, SMK Peramu Jaya, SMK Ketari, SMK Katholik, SMK Khai Mun, SMK Purun, SMK Datuk Bahaman, SMK Pulai Jaya dan SMK Mentakab.

Dalam ucapan perasmian, Datin Seri Rosmah berkata, sejak dua tahun lalu pelaksanaan program, seramai 7000 pelajar Tingkatan 4 dari seluruh negara berpeluang menimba ilmu, meneroka peluang dan mengenali potensi diri melalui Program Selangkah ke Universiti.

"Penganjuran kali ini telah ditambahbaik dengan memberi pendedahan kepada peserta tinggal di dalam kampus bagi merasai pengalaman bergelar mahasiswa dan mahasiswi percubaan."

 

"Pertarungan masa depan adalah pertarungan minda dan percambahan nilai-nilai kreativiti dan inovasi merupakan nilai tambah dan penentu sejauh mana pencapaian seseorang," katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Penutup yang diadakan di Dewan Astaka UMP. Beliau juga menasihatkan peserta agar memberi keutamaan terhadap akademik bagi mencapai kejayaan di masa depan.

Datin Seri Rosmah juga berbangga dengan sumbangan mahasiswa UMP terutamanya dari Kelab In-Smartive yang banyak mencorak mahasiswa agar lebih yakin, berketerampilan dan berkepimpinan. Pada masa yang sama mendidik pelajar berkepimpinan dan bersahsiah tinggi.

Sementara itu, Dato’ Dr. Daing Nasir, pihak pengurusan UMP sentiasa menyambut baik dan mengalu-alukan inisiatif seperti Program Selangkah Ke Universiti agar kampus Universiti dapat dimasyarakatkan serta dirakyatkan.

"Sebagai sebuah menara gading, UMP bertekad untuk menjajarkan kedudukannya dengan strategik supaya kehadirannya dilihat, kewujudannya dirasai dan suaranya didengari oleh masyarakat.

"Komitmen ini dizahirkan pihak pengurusan Universiti melalui pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2011-2015 dalam salah satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Universiti (University’s Key Result Areas –UKRA) iaitu Pembangunan Sosio-ekonomi," Katanya, menjadi harapan pihak pengurusan UMP bahawa pengalaman yang dilalui setiap peserta sepanjang dua hari program ini akan menginspirasikan mereka untuk menanam azam bahawa mereka juga akan menjadi seorang mahasiswa dan graduan yang berjaya pada satu hari nanti," katanya.

 

Katanya, dalam program ini pelajar berpeluang menjadi ‘mahasiswa percubaan’ dan berinteraksi langsung dengan para mahasiswa; melawat makmal-makmal kejuruteraan; mempelajari teknik kemahiran belajar yang betul, mencabar minda dalam pertandingan inovasi dan merasai pengalaman bermalam di kolej kediaman.

Antara program yang diadakan termasuklah "Tak Kenal Maka Tak Cinta", "Lecture In Action", "Campus Tour", "Bob The Builder", "Invent!", "D.I.C.E", "Battle of Tongues" dan "Fifth Gear" yang dijayakan seramai 40 orang fasilitator mahasiswa yang dipilih dari Kelab In-Smartive UMP. Lebih 500 orang hadir menjayakan program yang turut dihadiri Isteri-isteri Menteri , Timbalan Menteri dan wakil rakyat negeri Pahang.

 

Disediakan Oleh Unit Perhubungan Awam & Media Pejabat Naib Canselor



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 21-09-2012, 12:05:06