187 Calon UPSR Daerah Jempol Terima Manfaat Projek Kilauan Mutiara Kelab In-Smartive UMP


  

 

Gemas, 8 Julai- Seramai 187 orang pelajar tahun 6 dari 18 buah sekolah kebangsaan sekitar daerah Jempol telah menyertai Projek Kilauan Mutiara @ FELDA Wilayah Raja Alias selama tiga hari di Sekolah Kebangsaan Palong 8 (FELDA) yang berakhir hari ini.

Projek sulung Kelab In-Smartive UMP di Negeri Sembilan ini dijayakan oleh 38 orang fasilitator mahasiswa dan diadakan sempena Perkampungan Ko-Kurikulum Menjana Kecemerlangan Akademik 2012 anjuran Unit Ko-Kurikulum, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Jempol dan Jelebu dengan sokongan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Sesuai dengan objektifnya iaitu meningkatkan tahap keyakinan dan motivasi para peserta yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada bulan September akan datang, pelajar dibimbing dengan pelbagai modul dan aktiviti interaktif seperti Tak Kenal Maka Tak Cinta, Timeline, Bob The Builder, Happy Hour, Muhasabah Diri dan lain-lain melalui pendekatan Latihan Dalam Kumpulan (LDK).

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran & Pengajian Tinggi Negeri Sembilan, Dato’ Shamsulkahar Mohd Deli memuji inisiatif yang diambil oleh PPD Jempol dan Jelebu serta Kelab In-Smartive UMP dalam merintis kerjasama bagi meningkatkan pencapaian akademik pelajar di kedua-dua daerah ini.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting turut menambah bahawa hakikat bahawa kebanyakan sekolah di kedua-dua daerah ini termasuk dalam kategori luar bandar yang memerlukan perhatian bukan sahaja oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeri, tetapi juga pihak luar seperti UMP bagi meransang motivasi pelajar. 

 

 

 

Dalam majlis yang sama, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dr. Yuserrie Zainuddin menyatakan bahawa inisiatif Projek Kilauan Mutiara merupakan sebahagian daripada komitmen Universiti ini bagi memaknakan strategi Pembangunan Sosio-ekonomi sebagai Bidang Keberhasilan Utama Universiti (UKRA) Ketiga dalam kerangka Pelan Strategik UMP 2011-2015.

"Dalam ruang keupayaannya, UMP sentiasa terbuka dan bersedia untuk melestarikan kerjasama seumpama ini bagi manfaat masyarakat secara keseluruhannya", kata beliau semasa menyampaikan ucapan.

Hadir sama Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Jempol dan Jelebu, Mohd. Adnan Ismail dan Ketua Penyelidik Kepada Naib Canselor yang juga Penasihat Kelab In-Smartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain.

Sementara itu, Pengurus Projek, Mohd Nizam Mohd Azhar melahirkan kesyukuran beliau dan para fasiliatator kerana dapat menangani pelbagai cabaran, khususnya dalam aspek pengelolaan bilangan peserta yang ramai.

Beliau yang merupakan mahasiswa tahun 2 di Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik yang turut sama menjawat portfolio Setiausaha Bahagian Penerangan Kelab In-Smartive terharu dengan kepercayaan yang diberikan pihak Kelab In-Smartive dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (Saffad) dalam menguruskan projek ini.

Perasmian penutup projek disempurnakan pada sebelah malamnya oleh Pegawai Pelajaran Daerah Jempol dan Jelebu, Hajah Rodiah Md Jan. Para fasilitator In-Smartive turut dirai dalam majlis makan malam Barbeque yang turut dihadiri oleh Ketua Unit Ko-Kurikulum, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan, Abd Hamid Omar .

Disediakan oleh Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain, Ketua Penyelidik Kepada Naib Canselor dan Pensyarah Undang-undang, Fakulti Teknologi merangkap Penasihat Kelab In-Smartive dan disunting  Oleh Unit Perhubungan Awam & Media Pejabat Naib Canselor

 



Posted By : SYED MOHD HAFIDZ BIN SYED HUSSIN Date Posted : 13-07-2012, 10:59:08