UMP dan UniKL Catat Keputusan Seri


UMP dan UniKL Catat Keputusan Seri

 

Kuantan, 19 November - Pertembungan 'dramatik'  perlawanan bola sepak persahabatan antara Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Kuala Lumpur  berakhir dengan keputusan 1-1 pada pertemuan di Stadium Darul Makmur petang semalam.

 

 

 

Turun dengan reputasi besar sebagai Johan Divisyen Satu, Kejohanan Bolasepak Antara Universiti Malaysia (Uni-League 2008), UniKL bertandang ke Kuantan dengan keazaman untuk membuktikan status sebagai johan harus dimiliki mereka  manakala pasukan UMP pula turun dengan semangat membara untuk membalas dendam diatas kekalahan 1-2 kepada pasukan UniKL pada pertembungan Liga Uni-League 2008 pada Ogos yang lalu.

 

 

 

Namun, awal babak permainan sebaik wisel pengadil ditiupkan, jelas kelihatan pasukan UMP yang dibimbing oleh bekas pemain Pahang dan kebangsaan, Mohd Azaruddin Aziz cepat menguasai permainan dengan membuat hantaran yang tepat dan sesekali melancarkan serangan ke kubu UniKL.

 

Pun begitu, sedang ghairah pasukan tuan rumah melancarkan serangan, kesilapan pemain tengah UMP, Mohd Firdaus Mohamed yang gagal menolak kemas hantaran, dihukum oleh penyerang UniKL yang bijak melambung bola ke dalam gawang melepasi jangkauan penjaga gol UMP, Mohd Syazwan Hussien untuk gol pendahuluan UniKL pada minit ke-6.

 

 

 

Tersentak dengan jaringan awal pasukan pelawat, UMP mula mengatur permainan dengan lebih kemas dengan diketuai oleh ketua pasukan, Mohd Johan Bakti yang seringkali mengucar-kacirkan pertahanan UniKL sambil kombinasi penyerang UMP, Rahmat Che Hasim dan Mohd Thorik Firdaus kerap menguji kekebalan penjaga gol pelawat.

 

Peluang terbaik UMP menyamakan kedudukan hadir pada minit ke 12 perlawanan, apabila mendapat satu sepakan percuma dihadapan gawang UniKL namun tandukan Rahmat Che Hasim sedikit tersasar walaupun kedudukan penjaga gol UniKL sudahpun tertewas.

 

Namun, selepas itu, beliau menebus kehampaan apabila hasil satu gerakan dari tengah padang, hantaran lambung Mohd Izzat Mohd Yudeen dikawal kemas oleh Rahmat Che Hassim sebelum memperdayakan dua pertahanan UniKL dan menolak masuk bagi gol penyamaan pada minit ke-16 seterusnya menggamatkan kira-kira 500 orang penonton di Stadium Darul Makmur.

 

 

 

Selepas gol itu, perlawanan mulai seimbang dan sesekali kedua-dua pasukan melancarkan serangan ke kubu masing-masing namun gagal untuk memecah kebuntuan sehingga wisel separuh masa ditiupkan oleh Pengadil perlawanan Mohd Bustaman Ismail.

 

Separuh masa kedua berlangsung, pasukan UMP mendominasi sepenuhnya perlawanan dan hampir mendahului pelawat, namun sepakan percuma Mohd Johan Bakti ditolak keluar oleh penjaga gol UniKL sementara hantaran silang pemain gantian Mohd Aizuddin pada minit ke-52 disambut  kemas oleh Mohd Thorik Firdaus namun penjaga gol UniKL sekali lagi menjadi penghalang.

 

 

Tiupan wisel oleh pengadil menandakan tamat sepenuh masa perlawanan mengesahkan perlawanan berkesudahan seri dengan 1-1  dan sebaik perlawanan berakhir dilangsungkan majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh tetamu kehormat iaitu Kebawah Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Mahkota Pahang yang berangkat menyaksikan perlawanan tersebut dan seterusnya menobatkan pasukan UniKL dan UMP sebagai Johan Bersama pada perlawanan persahabatan rasmi edisi sulung ini.

 

 

 

Perlawanan persahabatan rasmi ini diilhamkan sendiri oleh Kebawah Duli Yang Teramat Mula Tengku Mahkota Pahang yang juga merupakan Canselor kepada kedua-dua buah universiti ini dan tujuan perlawanan ini diadakan ialah untuk merapatkan hubungan sukan antara UniKL dan UMP dan akan dijadikan asas untuk satu kerjasama yang berterusan.

 

Sementara itu, Mohd Azaruddin Aziz selaku jurulatih pasukan UMP yang ditemui selepas perlawananan menyatakan rasa amat berpuas hati dengan keputusan perlawanan dan menyifatkan para pemainnya kini sudah matang serta mampu bersaing dan tidak keberatan untuk mengekalkan sebahagian besar pemain-pemain ini untuk persediaan bagi mengharungi Kejohanan Uni-League bagi sesi 2009 tahun hadapan.

 

Turut hadir ke perlawanan yang julung-julung kali diadakan itu ialah, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Yang Berhormat Dato' Saifuddin Abdullah, Naib Canselor UMP, Yang Hormat Profesor Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim, Pengerusi Majlis UniKL, Yang Berbahagia Dato' Zolkipli Abdul, Presiden UniKL, Yang Hormat Profesor Dato' Dr. Abdul Hakim Juri, Pegawai-Pegawai Kanan UMP dan UniKL serta staf dan pelajar dari kedua-dua buah universiti.



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 20-11-2008, 10:14:28