Kem Interaksi Pemimpin Muda Bentuk kepimpinan Pelajar SMK Chini 2


 

 

Pekan, 22 April – Seramai 100 orang pemimpin pelajar di kalangan pengawas, pengawas pusat sumber, ketua tingkatan dan pengerusi persatuan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chini 2 menyertai Kem Interaksi Pemimpin Muda (IN-TEAM) anjuran Kelab In-Smartive Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (Saffad) baru-baru ini.

Program yang julung kalinya diadakan di sekolah ini menyaksikan penglibatan seramai 40 orang mahasiswa UMP termasuk pelajar antarabangsa yang berperanan sebagai fasilitator.

Menurut Pengurus Projek IN-TEAM, Asraf Ahmad, 21, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen Kelab In-Smartive untuk menjayakan pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2011-2015 terutamanya bagi dua Bidang Keberhasilan Utama Universiti (UKRA) iaitu Peningkatan Kualiti Akademik dan Pembangunan Sosio-Ekonomi.

"Sepanjang program IN-TEAM, peserta dilatih dengan kelasakan minda dan ketahanan fizikal melalui modul-modul interaktif seperti Mulanya Di Sini, Explorace, Titanic, Last Man Standing, Sayang Si Buta dan Muhasabah Diri."

 

"Modul-modul adalah hasil sumbang saran para fasilitiator sendiri yang disesuaikan dengan keadaan peserta berdasarkan maklum balas yang diterima dari pihak sekolah", tambah mahasiswa tahun 2 program pengajian Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri ini.

Sementara itu, seorang peserta, Muhammad Amirul Naim Mazuki,17, mengakui bahawa pendekatan modul dalam IN-TEAM adalah berbeza daripada kem kepimpinan yang pernah dilaluinya sebelum ini.

"Walaupun agak letih dengan jadual aktiviti yang padat, namun saya dan rakan-rakan lain amat teruja untuk mengharungi cabaran sepanjang kem ini yang amat menitikberatkan pengurusan masa dan disiplin diri bagi membentuk wibawa kami sebagai pemimpin pelajar di SMK Chini 2", kata pelajar Tingkatan 5 ini yang turut dilantik sebagai Penghulu Peserta dalam IN-TEAM.

Dalam ucapannya semasa merasmikan penutupan kem ini, Guru Penolong Kanan SMK Chini 2, Hajah Rosmawati Mohd Salleh memuji inisiatif yang diambil oleh Kelab In-Smartive UMP untuk menonjolkan mahasiswa sebagai ikon kepimpinan kepada pelajar sekolah melalui IN-TEAM.

 

Menurut beliau lagi, pengisian sepanjang kem ini memberi nilai tambah yang tidak sedikit kepada pembinaan jati diri peserta untuk menjadi pemimpin pelajar yang berwibawa dan berkesan di SMK Chini 2.

Turut hadir dalam majlis perasmian penutup ini ialah Ketua Penyelidik Kepada Naib Canselor merangkap Penasihat Kelab In-Smartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain, Kaunselor SMK Chini 2, Roslan Ibrahim dan Presiden Kelab In-Smartive, Mohd. Jamil Mohd. Ja’afar.

Berita dan gambar disediakan oleh Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain, Penasihat Kelab In-Smartive yang juga Ketua Penyelidik Kepada Naib Canselor dan Pensyarah Undang-undang di Fakulti Teknologi, UMP.



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 25-04-2012, 15:55:44