Kelab In-Smartive UMP Santuni Masyarakat FELDA Keratong 2


 

Bandar Tun Razak, Rompin, 8 April – Seramai 20 orang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) memanfaatkan cuti pertengahan semester mereka dengan menyertai Projek Kilauan Mutiara di Sekolah Kebangsaan (SK) Keratong 2 di sini baru-baru ini.

Projek anjuran Kelab In-Smartive dengan sokongan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (Saffad) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) yang memberi fokus kepada pembangunan motivasi dan sahsiah diri serta lonjakan prestasi akademik ini  melibatkan seramai  60 orang murid Tahun 6 SK Keratong 2 yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada bulan September ini.

Interaksi langsung para peserta dengan mahasiwa UMP yang berperanan sebagai fasilitator menyaksikan penglibatan aktif mereka dalam aktiviti-aktiviti menarik sepanjang program ini menggunakan modul interaktif seperti Asas Fardhu Ain, Kaki Botol, Timeline, Pulau Impian, Di Sana Ada Cahaya, Muhasabah Diri dan lain-lain.

 

Menurut Pengurus Projek, Mohd. Wafiey Ab Hamid, 22, program ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan pelaksanaan edisi pertamanya pada tahun 2011 yang mendapat maklum balas positif daripada pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pengurusan FELDA Keratong 2, para penjaga dan ibu bapa.

"Pengalaman tinggal bersama keluarga angkat semasa program ini merupakan pengalaman yang amat bermakna buat para fasilitator, sekaligus menyuburkan lagi ukhuwwah yang telah sedia terjalin antara Kelab In-Smartive dan masyarakat di sini", ujar mahasiswa tahun 2 Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian ini.

Sementara itu, seorang calon UPSR SK Keratong 2, Mohd Sazriman Sanusi, 12, menyuarakan kegembiraan dan rasa syukur kerana dapat mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan bersama para mahasiswa UMP buat kali keduanya kerana pernah mengikuti edisi pertama projek ini ketika menuntut di Tahun 5 pada tahun 2011.  Beliau amat seronok dan berterima kasih atas bimbingan ahli Kelab In-Smartive UMP yang dipenuhi dengan pengisian positif melalui modul-modul sepanjang pertemuan berlangsung.

Tirai Projek Kilauan Mutiara di SK Keratong 2 diakhiri dengan ceramah motivasi kekeluargaan kepada ibu bapa, guru dan murid tahun 5 dan 6 yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN) UMP, Dr. Hasan Ahmad yang turut menyempurnakan perasmian penutup program ini.

Hadir sama Guru Besar SK Keratong 2, Haji Samidi Sulaiman dan Ketua Penyelidik Kepada Naib Canselor UMP merangkap Penasihat Kelab In-Smartive UMP, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd. Zain.

 

Berita dan gambar disediakan oleh Wan Nazrul Helmy bin Wan Mohd Zain,Ketua Penyelidik Kepada Naib Canselor dan Pensyarah Fakulti Teknologi merangkap Penasihat Kelab In-Smartive.

Di Muat Naik Oleh Unit Perhubungan Awam & Naib Canselor



Posted By : SYED MOHD HAFIDZ BIN SYED HUSSIN Date Posted : 09-04-2012, 16:57:30