Mahasiswa In-Smartive Bantu Pelajar Sekolah Menguasai Bahasa Inggeris


Pekan, 11 Feb - Seramai 148 pelajar menyertai program Projek Kilauan Mutiara Teach Malaysia Teach (TMT) anjuran Kelab In-Smartive Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Pertubuhan Kebajikan & Kemajuan Sosial (PKKS) dengan sokongan Kementerian Sains ,Teknologi dan Inovasi (MOSTI)  bagi memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah rendah sekitar Pekan baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada pelajar Sekolah Kebangsaan Yoke Hwa (SJK (C) Yoke Hwa, Sekolah Kebangsaan (C) Pekan (SJKCP), Sekolah Kebangsaan Ahmad (SKA),Sekolah Kebangsaan Seri Biram (SKSB), Sekolah Kebangsaan Seri Terentang (SKST), Sekolah Kebangsaan Langgar (SKL) dan Sekolah Kebangsaan Indera Shahbandar (SKIS) Pekan.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, inisiatif ini menyumbang kepada pencapaian Bidang Keberhasilan Utama (KRA) Pembangunan Sosio-ekonomi UMP serta memberi nilai tambah kepada penjajaran universiti ini di tengah-tengah masyarakat setempat di daerah Pekan.

Selain itu, ianya merupakan tanggungjawab sosial korporat UMP terhadap masyarakat sekitar Pekan khususnya dalam pelaksanaan Projek Kilauan Mutiara Teach Malaysia Teach ini.

"Mahasiswa perlu menyedari bahawa ilmu yang dipelajari di kampus tidak akan memberi erti yang signifikan sekiranya pengetahuan itu tidak disalurkan kepada masyarakat untuk dikongsi manfaatnya," katanya berucap ketika merasmikan Projek Kilauan Mutiara Teach Malaysia Teach (TMT) di Pusat Kegiatan Pelajar, UMP Pekan.

Beliau berharap, projek ini dapat dijayakan hasil permufakatan dan persefahaman yang harmoni melibatkan pelbagai pihak terutamanya kerjasama dari pihak sekolah.

Timbalan Presiden Kelab In-Smartive yang merupakan Pengurus Projek, Mohd Jamil Mohd Ja`afar berkata, program itu dapat memberi suntikan motivasi dan membina jati diri serta persediaan mental untuk menghadapi peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akan datang.

 

"Banyak aktiviti yang akan dianjurkan bagi meningkatkan motivasi diri pelajar antaranya program Filial Piety, Dare To Be You, Green At Heart, All Children Excel, Study Techniques, Time Management dan Youngstar Games," kata Mohd. Jamil.

Katanya, program dijangka diadakan dalam 27 sesi yang berlangsung di sekolah masing-masing manakala, lima daripadanya  diadakan dalam kampus UMP sendiri bagi memberi pendedahan terhadap amalan yang baik seperti disiplin diri, berdikari, memiliki rasa tanggungjawab dan bekerja sebagai satu pasukan.

Tambah beliau, selain meningkatkan kesedaran tentang kepentingan ilmu, program itu juga bertujuan mendekatkan pelajar sekolah dengan suasana persekitaran dan pembelajaran di institusi pengajian tinggi.

Seorang peserta, Vivian Yeo Sui Hong,11 berkata beliau amat bertuah dipilih untuk menyertai program ini. Katanya, menyertai program ini menyedarkannya tentang kepentingan pelajaran dan bagaimana pelajaran mampu mengubah nasib keluarga.

 Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah Pekan, Tuan Haji Alias Chik, Pengerusi Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Cawangan Pekan, Dato` Haji Ibrahim Ya`acob, Timbalan Pendaftar Kanan, Wan Abdul Rashid Wan Abdul Rahman, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Kemajuan Sosial, Elia Mastura Kamaruddin dan Penasihat Kelab In-Smartive Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain.   

Program Projek Kilauan Mutiara Teach Malaysia Teach (TMT) bakal dilaksanakan sepanjang tahun ini melibatkan kerjasama 80 sukarelawan Kelab In-Smartive.

Disediakan Oleh Unit Perhubungan Awam & Media Pejabat Naib Canselor



Posted By : SYED MOHD HAFIDZ BIN SYED HUSSIN Date Posted : 13-02-2012, 15:10:11