Mahasiswa UMP Turun Padang dalam Projek Semaian Budi di Agropolitan Lepar


 

PEKAN, 20 Januari – Seramai 30 orang mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) memulakan cuti semester mereka kali ini dengan suatu pengalaman unik apabila tinggal bersama keluarga angkat yang merupakan penduduk Agropolitan Lepar di Kilometer 43, Jalan Kuantan – Segamat dalam Projek Semaian Budi yang berakhir semalam.

Bersesuaian dengan tema projek anjuran Kelab In-Smartive UMP ini iaitu "Dari Kampus Ke Lapangan Masyarakat", kumpulan mahasiswa ini menjalani rutin kehidupan harian penduduk Agropolitan tersebut iaitu menguruskan ladang kambing mereka yang diusahakan dengan bantuan kerajaan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Menariknya, mahasiswa turut didedahkan dengan amalan penternakan kambing secara sistematik dan penanaman rumput jenis napier yang menjadi makanan utama ternakan tersebut.

 

Program turut meriah dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang kawasan Pulau Manis Khairuddin Mahmud. Semasa menyampaikan ucapan, beliau melahirkan rasa bangga dan mengalu-alukan inisiatif yang diambil oleh pihak pengurusan UMP dalam memasyarakatkan mahasiswanya melalui penganjuran pelbagai aktiviti yang menambah nilai kepada kesejahteraan sosio-ekonomi, daya saing dan pencapaian akademik di kawasan luar bandar.

Manakala, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMP, Profesor Dr. Yuserrie Zainuddin yang menyampaikan ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa komitmen pihak UMP untuk membangunkan masyarakat setempat di kawasan ini tidak akan berakhir begitu sahaja, malah ianya akan diteruskan dengan memanfaatkan kepakaran penyelidikan dan semangat kesukarelawan yang digembleng bersama tenaga warga kerja dan mahasiswa universiti ini.

Pengurus Projek Semaian Budi, Norfarahaim Hartini Syukur turut melahirkan rasa terharu beliau di atas kemesraan pihak pengurusan Agropolitan Lepar dan keluarga angkat masing-masing yang memberikan kerjasama yang amat baik sepanjang program selama tiga hari tersebut.

"Selain aktiviti di ladang, aktiviti lain yang turut diadakan sepanjang pemukiman ini ialah sukaneka bersama masyarakat setempat, motivasi pelajar di Sekolah Kebangsaan Lepar, serta memberikan bimbingan kemahiran belajar kepada adik-adik angkat kami," tambah penuntut program Sarjana Muda Pengurusan Projek di Fakulti Teknologi UMP ini.

Turut hadir dalam majlis ialah Pengurus Agropolitan Lepar, Mansor Isa, Pegawai Eksekutif ECER Pahang, Mohd Khairul Fikri Che Mat, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu 8 Lepar, Haji Din Mat Diah dan Ketua Penyelidik kepada Naib Canselor UMP yang juga Penasihat Kelab In-Smartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd. Zain.

  

Disediakan oleh : Pensyarah Fakulti Teknologi yang juga Ketua Penyelidik kepada Naib Canselor UMP dan merangkap Penasihat Kelab In-Smartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd. Zain.



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 20-01-2012, 16:47:38