120 Peserta Sinar ECER Berkampung Di Kampus UMP Gambang


 

Kuantan, 14 Januari - Seramai 120 anak–anak peserta  Agropolitan Pekan menyertai  Hari Inovasi dan Kreativiti Sinar ECER anjuran Universiti Malaysia  Pahang (UMP) selama dua hari di UMP Gambang. Pendedahan ini memberi peluang merekabergelar `mahasiswa’ dan merasai keseronakan kehidupan kampus di samping memberi pendedahan dan galakan kepada pelajar untuk menceburi bidang sains dan teknologi dengan melawat makmal, belajar komputer dan mencipta inovasi.
 
Selain itu pelajar yang terdiri di kalangan peserta berumur enam hingga 12 tahun ini turut didedahkan dengan segmen celik komputer, celik huruf dan celik inovasi. Peserta turut berpeluang bersama jurulatih dari Zulldesign Autotronic, Zulfadzli Haron.
 
Program ini adalah lanjutan daripada program tuisyen, kem motivasi dan latihan dalam kumpulan (LDK) dalam memberi kesedaran pendidikan anak-anak peserta Agropolitan bagi mengelakkan keciciran dalam pembangunan akademik menerusi program `Sinar ECER' di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
 
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Dato' Jebasingam Issace John berkata, program yang meliputi tiga modul, Kelas Akademik,Aktiviti Interaktif dan Kem Kanak-kanak merupakan pendekatan holistik untuk menyokong keluarga Agropolitan.

 
 
" Program ini mengambil pendekatan bersepadu melibatkan pembangunan diri, pencapaian akademik dan penyertaan berpasukan secara kompetitif,"katanya.
 
Tambah beliau, di bawah Pelan Induk ECER, projek Agropolitan meningkatkan pendapatan bulanan isi rumah di antara RM1,000 dan RM 2,000 dalam tempoh tiga tahun pertama dan RM 5,000 sebulan bagi jangka masa panjang.
 
Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata,program Sinar ECER ini menyaksikan komitmen tinggi pihak Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk meningkatkan daya saing murid di dua buah sekolah terpilih iaitu Sekolah Kebangsaan Lepar dan Sekolah Kebangsaan Runchang di Daerah Pekan dengan bimbingan warga kerja dan mahasiswa UMP serta sokongan Kerajaan Negeri Pahang.
 
Katanya, Program Sinar ECER merupakan manifestasi kesedaran bahawa kewajipan untuk mensejahterakan rakyat tidak terletak di atas bahu semata-mata malah menjadi tanggungjawab universiti.
 
"Pihak UMP begitu berbesar hati kerana menjadi sebahagian dari rakan kongsi pihak ECERDC dalam Program Sinar ECER yang telah berlangsung sepanjang tahun 2011 yang lalu melibatkan usahasama Pusat Pengajian Berterusan & Pembangunan Profesional (CENFED), Persatuan Wanita UMP (Matahari) dan mahasiswa UMP dari Kelab In-Smartive," kata beliau. 

 
 
Dato’ Daing berkata, dengan kejayaan pelaksanaan Program Sinar ECER sepanjang  setahun yang lalu,pihak UMP sentiasa komited dan bersedia untuk terus berganding bahu dengan ECERDC untuk melestarikan inisiatif ini pada masahadapan.
 
Katanya, komitmen tinggi Pusat- Pusat Tanggungjawab persatuan kakitangan dan pertubuhan mahasiswa di Universiti inimembuktikan bahawa tiada jurang pemisah antara komuniti kampus dan masyarakat setempat.
 
Peserta projek Agropolitan Pekan, Abdul Malek Awang Kechik yang hadir menyertai program penutup majlis berkata, beliau amat berterima kasih atas keprihatinan pihak kerajaan dalam membangunkan masyarakat luar bandar, mengadakan kelas tambahan percuma dan menjalankan program yang sihat  kepada anak-anak dalam meningkatkan kehidupan penduduk kampung yang jauh dari pendalaman.
 
Majlis perasmian Hari Inovasi & PenutupProgram Sinar ECER 2011 dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Usahawan dan KoperasiNegeri Pahang yang juga ahli  Dewan Undangan Negeri Bebar, Dato’ Haji IshakHj. Muhammad. Hadir sama Pengurus Besar ECER Negeri Pahang,Mazlan Sharudin, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni),Profesor Dr. Yuserrie Zainuddin, Penasihat Persatuan Matahari, Datin Fazia Ali, Presiden Persatuan Matahari, Prof. Madya Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim, Pemangku Pengarah CENFED, Haji Jamil Basri dan Pengurus Projek  Zainal Bahari.

 



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 16-01-2012, 14:46:37