Pelajar Cemerlang UPSR Program SINAR ECER 2011 Dirai


Kuantan, 24 November-  Seramai 12 peserta program Sinar ECER 2011 yang terdiri daripada pelajar Sekolah Kebangsaan Lepar dan Sekolah Kebangsaan Runchang hadir bersama keluarga masing-masing bagi memeriahkan majlis penghargaan kepada pelajar cemerlang dan pelajar berpotensi  dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)  pada tahun ini.
 
Mereka yang berjaya mencatat kejayaan cemerlang ialah Hafizin Khairi Shaary, Nurul Amiera Afindi dan Siti Nur Wahidah Bustamam yang mendapat A dalam semua mata pelajaran.
 
Selain itu, Ismarizal Ikmal Ismail, Mohamad Aisar Rosli, Muhammad Aiman Zainuddin dan  Zulhaziq Zufar Mohd. Zalaudin berjaya memperoleh 4A 1B dan Muhammad Nurshafiq `Afi  Mohd. Norsani 4A 1C. 
 

Turut dirai di kalangan pelajar anak-anak peserta Agropolitan Pekan, Mukim Lepar yang  berpotensi dalam UPSR kali ini ialah  Roni a/p Chandra Kumar Dhar, Rossyatka a/p Teor Bak Song, Asmi a/l Lau Hau Kiong dan Ayu Restiany Zulkhairi yang menuntut di  Sekolah Keb. Runchang.  
 
Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, UMP  sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam rasa  terpanggil untuk memenuhi kewajipan sosialnya kepada masyarakat dalam menabur khidmat tanpa sempadan.
 
Beliau menzahirkan rasa bangganya atas penglibatan sinergi yang konsisten dengan pihak Sekolah Kebangsaan Runchang dan Lepar melibatkan Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC), FELDA dan UMP sendiri dalam projek Sinar ECER ini bagi  membangunkan sosio-ekonomi masyarakat luar bandar.
 

“Perkembangan positif ini memberikan isyarat yang jelas bahawa bahawa usaha pembangunan   pendidikan dan sosio-ekonomi perlu digalas secara kolektif oleh semua pihak yang berkeupayaan dengan bersandarkan kesedaran tanggungjawab sosial yang tinggi.”

“Permuafakatan melibatkan pihak ECERDC ini menyuburkan semangat sukarelawanan yang   tinggi  di kalangan warga kerja dan mahasiswa universiti iaitu Kelab In-Smartive dalam mengggembleng tenaga  untuk menjayakan  projek ini dengan dikoordinasikan bersama Pusat Pengajian Berterusan & Pembangunan Profesional (CENFED) dan Persatuan Wanita UMP (Matahari),” katanya.
 
Menurut Dato’ Daing Nasir , inisiatif perlaksanaan Projek Sinar ECER ini merealisasikan  Bidang Keberhasilan Utama Universiti (UKRA) bagi pembangunan sosio-ekonomi dalam memberi nilai tambah terhadap Pelan Strategik UMP 2011-2015.
 
UMP bertanggungjawab menyelaras modul aktiviti , mengendalikan tuisyen akademik Dan menyediakan semua keperluan sepanjang program termasuk Seminar Keibubapaan, Kem Komunikasi, Hari Motivasi dan Inovasi melibatkan pelajar dan peserta agropolitan Pekan.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Sosial ECERDC, Zulkifli Ya’acob berkata,  tugas untuk membangunkan pendidikan bukan hanya bergantung kepada sekolah sahaja namun ia memerlukan dorongan dan sokongan semua pihak bagi memastikan anak-anak terus berjaya dalam pendidikan.
“Program Sinar ECER dibangunkan untuk menyokong projek Agropolitan ECERDC yang  bertujuan membantu anak-anak peserta dari golongan miskin dan miskin tegar berjaya dalam pendidikan. Pelajar juga didedahkan dengan persekitaran yang dapat memotivasikan pelajar dan keluarga seperti melawat sekitar Kuala Lumpur dan Petrosains,” katanya.
Katanya, negara akan hilang daya saing, ketinggalan dan terpinggir daripada kemajuan global jika pendidikan tidak diurus secara cekap dan berkesan kerana pendidikan merupakan bidang yang dinamik, penuh cabaran, perbelanjaan yang besar serta jentera pelaksanaan yang cekap dan sesuai dengan tuntutan semasa.
 
Beliau turut merakamkan penghargaan terima kasih atas sokongan banyak pihak    terutamanya pihak  FELDA selaku agensi pelaksana untuk Agropolitan Pekan, UMP,  Pejabat Pelajaran dan guru-guru sekolah yang banyak memberi kerjasama dalam merealisasikan objektif penubuhan Pusat Kecemerlangan ECER.
 
Malah katanya, kerajaan akan terus meletakkan kepentingan agenda pendidikan sebagai keutamaan dalam merancang dan melaksanakan program-program pembangunan.
 
Dalam majlis ini Dato' Dr. Daing Nasir turut menyampaikan sijil penghargaan dan wang tunai sumbangan  Persatuan Matahari. Bagi pelajar yang memperoleh  5A menerima 150 ringgit, 100 ringgit bagi pelajar yang mendapat 4A dan lain-lain pelajar berpotensi di kalangan anak-anak orang Asli menerima wang tunai sebanyak 50 ringgit.
 
Hadir sama Ketua Sektor Jaminan Kualiti Jabatan Pelajaran Malaysia, Rosdi Ismail,  Eksekutif Projek Bahagian Pembangunan Modal Insan ECERDC, Zifalinda Selamat, Pengurus Projek Agropolitan Runchang,  Samsuri  Mohamed, Pengurus Projek Agropolitan Lepar, Mansor Isa dan Pegawai Pembangunan Masyarakat FELDA, Mohd Izwan Hafiz Arshad.

Disediakan Oleh Unit Perhubungan Awam & Media Pejabat Naib Canselor



Posted By : SYED MOHD HAFIDZ BIN SYED HUSSIN Date Posted : 25-11-2011, 16:10:06