Sinar ECER Rapatkan UMP Dengan Masyarakat Orang Kita Di Runchang


Runchang Pekan, 7 Julai – Keriangan jelas terpancar pada wajah pelajar tahun 4, 5 dan 6 seramai 162 orang ini apabila mereka berpeluang berinteraksi bersama 20 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) daripada  ahli  Kelab In-Smartive dalam  Program Kilauan Mutiara Sinar ECER yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang, Pekan baru-baru ini.

Program yang dikendalikan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Jabatan Pelajaran Negeri Pahang, Pusat Pengajian Berterusan & Pembangunan Profesional (CENFED) dengan kerjasama Persatuan Wanita UMP (MATAHARI) dan Kelab In-Smartive ini merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak ECER dengan memberi tumpuan kepada anak-anak peserta Taman Agropolitan Runchang di sini.

Peserta program ternyata amat bersemangat semasa menjayakan modul-modul yang dikendalikan oleh fasilitator UMP seperti “Gemuruh”, “Bersyukurlah Kita”, “Di Kala Pena Menari” dan lain-lain.

Program sehari ini diteruskan dengan ceramah keibubapaan yang disampaikan oleh Pensyarah UMP yang juga Penasihat In-Smartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain dengan tajuk “Yang Indah Itu Bahasa”  kepada ibu bapa dan penjaga  peserta program pada sebelah petangnya.

Menurut Pengarah Program Kilauan Mutiara Sinar ECER, Nurul Noramelya Zulkefli berkata, program ini memberikan pendedahan yang amat bermanfaat kepada fasilitator yang kebanyakannya terdiri daripada mahasiswa baharu yang mendaftar dalam  program diploma pada bulan lalu.

 “Pihak In-Smartive turut berdepan dengan cabaran utama dalam memahami latar sosio-budaya peserta yang rata-ratanya berketurunan Orang Asli”, ujar Noramelya yang merupakan mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli UMP.

Sementara itu, Pengarah CENFED, Dr. Omar Jamaludin menyeru masyarakat setempat untuk bersyukur dengan komitmen dan keprihatinan kerajaan untuk meningkatkan kecemerlangan akademik murid sekolah di luar bandar melalui pelbagai program, termasuklah Sinar ECER ini.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam majlis perasmian penutup program. Turut hadir dalam majlis ialah Penolong Kanan (Pentadbiran) SK Runchang, Anuar Zabidi Mohamed Ali, Penasihat Kelab In-Smartive UMP, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain dan Ketua Penyelaras Sinar ECER UMP yang juga Penolong Pendaftar CENFED,  Zainal Bahari.

Program di SK Runchang ini merupakan sebahagian dari inisiatif koloborasi UMP dan ECER melalui program Sinar ECER.  Selain itu, UMP turut menjayakan program tuisyen Sinar ECER di SK Lepar, Pekan yang juga dijayakan oleh fasilitator dari Kelab In-Smartive berakhir bulan Disember ini.

 

Disediakan oleh : Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain, pensyarah Jabatan Pengurusan Teknologi merangkap Penasihat Kelab In-Smartive UMP dan disunting Unit Perhubungan Awam



Posted By : SYED MOHD HAFIDZ BIN SYED HUSSIN Date Posted : 12-07-2011, 11:54:20