IN-TEAM Bentuk Wibawa Kepimpinan Pengawas SMK Pelabuhan


 

Kuantan, 18 Jun – "Kami berjanji untuk berubah, kami sayang sekolah kami!," demikian kata-kata ikrar seramai 80 orang pengawas dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelabuhan, Kuantan setelah menempuh pengalaman mencabar dalam menjayakan Kem Interaksi Pemimpin Muda (IN-TEAM) yang berlangsung selama tiga hari baru-baru ini.
 
Dengan ditunjangi semangat "Satu Untuk Semua, Semua Untuk Satu", IN-TEAM yang dikelolakan oleh Kelab In-Smartive UMP bermatlamat membentuk daya kepimpinan, wibawa dan karisma para peserta untuk menjadi pemimpin yang efektif dan efisien di peringkat sekolah.
 
Ketika acara simbolik penyerahan rasmi peserta kepada pihak Kelab In-Smartive pada 16 Jun, Penolong Kanan (Hal Ehwal Murid) SMK Pelabuhan, Hasnah Mamat menyatakan bahawa iklim semasa disiplin dan jumlah pelajar yang ramai di sekolah tersebut memerlukan satu organisasi pengawas yang mantap untuk membantu pentadbiran sekolah menguatkuasakan peraturan.
 
Mengulas tentang IN-TEAM, Presiden Kelab In-Smartive, Mohamad Fakhrol Radzi Zolkefli menjelaskan bahawa program kali ini lebih menarik kerana julung-julung kali diadakan dalam kampus UMP.

 


 
Katanya, "In-Smartive amat berterima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Jabatan Pembangunan & Pengurusan Harta (JPPH), Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi (PTMK), Pusat Islam & Pembangunan Insan (PIMPIN), Bahagian Keselamatan, UMP Books dan Pusat Kesihatan Pelajar (PKP) atas bantuan serta kerjasama yang telah dihulurkan."
 
Melalui penglibatan tenaga fasilitator berpengalaman dari Kelab In-Smartive, para peserta diuji dari segi mental dan fizikal dengan pelbagai modul dan aktiviti interaktif seperti Tak Kenal Maka Tak Cinta, Mulanya Di Sini, D.I.C.E, Riuh Sekampung,The Burj dan Sayang Si Buta.
 
Lebih unik, para peserta menikmati makanan yang disajikan dalam talam secara berkumpulan sepanjang program berlangsung untuk mengeratkan ukhuwwah di antara mereka.
 
Turut mengisi agenda IN-TEAM ialah ceramah kesedaran undang-undang yang menampilkan peguam dari Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam sebagai penceramah.

 
 
Mengakhiri program IN-TEAM, peserta menempuh pula aktiviti kembara di Bukit Sulai dengan diselia oleh para jurulatih dari Bahagian Keselamatan UMP.
 
Hadir mewakili Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMP dalam menyempurnakan  majlis penutupan IN-TEAM ialah Timbalan Pendaftar JHEPA, Abdul Shukur Ishak.
 
Dalam ucapannya, beliau menyeru In-Smartive untuk terus melangkah cemerlang sebagai pertubuhan mahasiswa yang aktif berteraskan prinsip 3K iaitu Kaunseling, Kepimpinan dan Kesukarelaan bagi memaknakan ungkapan "Mahasiswa Jurubicara Masyarakat".

 


 
Pada majlis yang sama, pelajar tingkatan lima SMK Pelabuhan, Jovyner Denoshafry  Anak Naser, 17 dan Anis Fazleen Azha, 17 diumumkan sebagai penerima Anugerah Peserta Terbaik IN-TEAM.
 
Turut hadir dalam majlis penutupan IN-TEAM ialah Pengetua SMK Pelabuhan, Noraini Md Salleh dan Penasihat Kelab In-Smartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain.
 
Disediakan oleh:  Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain, Pensyarah Jabatan Pengurusan Teknologi dan Penasihat Kelab In-Smartive serta disunting Unit Perhubungan Awam.



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 24-06-2011, 16:43:25