Makmal Berpusat Dilancar, UMP Jalin Kerjasama Bidang Kejuruteraan Teknologi Farmaseutikal |
Makmal berpusat yang letaknya di Taman Teknologi & Inovasi UMP Gambang ini lengkap dengan peralatan berteknologi tinggi yang berupaya menjalankan pengujian terhadap bahan kimia, bioteknologi dan bahan material yang melibatkan ujian kualiti air, keselamatan makanan, produk halal, ubat-ubatan, produk kecantikan dan lain-lain. Menurut YB Dato' Haji Mohd. Sharkar dalam ucapannya berkata, "Kewujudan makmal UMP ini akan merancakkan pembangunan industri berteknologi tinggi bagi produk makanan halal, bioteknologi, pusat maklumat dan teknologi komunikasi (ICT) dan pusat teknologi pertanian dengan kedudukan yang strategik di Taman Teknologi Gambang ini ."
Pada masa yang sama, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Exco Penerangan, Sains, Teknologi & Inovasi negeri Pahang turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara UMP dengan Institut Teknologi Tallaght, Republik Ireland dan memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak Organisasi Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) bagi penawaran program ijazah berkembar (Dual Degree) dalam bidang kejuruteraan teknologi Farmaseutikal. Kerjasama dengan ITT dan MOPI dalam bidang industri farmaseutikal ini bakal melahirkan jurutera dan pakar teknologis mahir untuk bersaing dalam pasaran kerja pada masa hadapan. Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Dr, Daing Nasir Ibrahim berkata, "Kerjasama strategik dengan ITT yang mempunyai bidang kepakaran dalam bidang ini, apatah lagi Republik Ireland yang merupakan pelopor dalam industri farmaseutikal menjadikan program yang ditawarkan di UMP lebih berdaya saing." Selain itu pelajar juga berpeluang menjalani latihan industri dalam semester kelapan di industri antarabangsa dalam mahupun luar negara," katanya. UMP merupakan universiti pertama di Malaysia yang akan menawarkan program Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi (Farmaseutikal) bagi pengambilan sesi akademik mulai tahun hadapan. Majlis menandatangani memorandum disempurnakan Naib Canselor UMP dan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz, manakala ITT diwakili Presidennya, Pat Maclaughin dan Ketua Sains ITT, Micheal Ahern. Sementara itu, Organisasi Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) diwakili Presidennya, Leonard Ariff Shatar dan Timbalan Presiden MOPI, Ching Kien Peng. Hadir menyaksikan detik bersejarah ini Duta Republik Ireland, H.E Declan Kelly dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato' Hilmey Mohd. Taib.
Disediakan Oleh Unit Perhubungan Awam & Media Pejabat Naib Canselor |
Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 17-06-2011, 15:35:53 |