Kelab In-Smartive Dekati Murid Luar Bandar di Perak Melalui Kilauan Mutiara


 

TAPAH, 30 Mei - Cuti persekolahan yang baharu sahaja bermula pada 28 Mei lalu menjadi kenangan bermakna kepada 63 murid tahun enam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Kuning dan SK Chenderiang di sini yang terpilih menyertai Program Kilauan Mutiara 2011 anjuran Kelab In-Smartive Universiti Malaysia Pahang (UMP).
 
Program yang dilaksanakan di Sekolah Menengah Sains Tapah ini merupakan edisi sulung di Negeri Perak serta mendapat kerjasama Pejabat Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dan Pejabat Pelajaran Daerah Batang Padang.
 
Seramai 15 orang pelajar UMP dari Kelab In-Smartive ternyata amat gembira dan bersyukur kerana berpeluang menyumbang bakti sebagai fasilitator kepada para peserta yang akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun ini.
 
Melalui modul dan aktiviti interaktif seperti Ice Breaking, Gemuruh, Senyum, Di Sana Ada Cahaya, Ada Syurga Di Wajah Mu, De Burj, Kaki Botol dan Muhasabah Diri, para peserta dibimbing untuk merencana masa depan dan cita-cita mereka serta membina keyakinan dan meningkatkan motivasi diri bagi menghadapi peperiksaan UPSR.

 



Menurut Pengarah Program, Muhammad Farhan Adnan, Kelab In-Smartive telah menerima permohonan daripada SK Ayer Kuning dan SK Chenderiang untuk mengadakan program ini dan pelaksanaannya menjadi kenyataan setelah mendapat persetujuan pihak Pejabat Pelajaran Daerah Batang Padang.
 
"Sokongan padu pihak YPM dan komitmen tinggi para fasilitator yang secara sukarela melapangkan masa cuti semester mereka membolehkan Program Kilauan Mutiara ini berjalan lancar", ujar Muhammad Farhan yang merupakan mahasiswa tahun 2 di Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli UMP.
 
Sempena program ini juga, para fasilitator turut berkesempatan mengadakan khidmat komuniti bersama kariah Masjid Teluk Raja Bayang di Pulau Pangkor pada 27 Mei.
 
Selain beramah mesra dengan masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato' Dr. Zambry Abdul Kadir itu, para fasilitator turut memberikan khidmat sukarela dengan membersihkan masjid dan kawasan perkuburan Islam berhampiran sebelum menunaikan solat fardhu Jumaat bersama ahli kariah.
 
Mereka seterusnya diraikan dalam jamuan tengah hari yang dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Teluk Raja Bayang, Haji Abdul Kadir Mohamed dan Pengerusi Masjid, Encik Yusof Ismail.
 
Perasmian penutup program pada 30 Mei telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Kementerian Pengajian Tinggi, Prof. Madya Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Idris.
 
Dalam ucapannya, Dr. Mohd. Fadzil menyarankan supaya In-Smartive terus giat mengadakan program seumpama ini dengan memfokuskan sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman.

 

Beliau turut mengingatkan para peserta mengenai amanah yang terpikul di bahu mereka untuk mencipta kecemerlangan dalam akademik bagi mengubah nasib dan membela keluarga.
 
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah wakil Pegawai Pelajaran Daerah Batang Padang, Saparuddin Ahmad; Eksekutif Kanan YPM, Mohamad Isa Chik; Penasihat In-Smartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain; Guru Besar SK Ayer Kuning, Hajah Che Zainon Mahammud dan Penolong Kanan SK Chenderiang, Roslina Abdul Rani.  
 
Program Kilauan Mutiara di Perak ini merupakan siri keempat yang dianjurkan oleh In-Smartive selepas pelaksanaannya di SK Pelindung, Kuantan; SK Keratong 2, Rompin dan SK Purun, Bera. Program siri kelima dijangka akan diadakan pada bulan Julai ini di SK Runchang, Pekan.

 
 

 
Disediakan : Penasihat Kelab In-Smartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain yang merupakan Pensyarah Jabatan Pengurusan Teknologi



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 01-06-2011, 15:14:10