Kilauan Mutiara Erat Hubungan Kelab In-Smartive UMP, SK FELDA Purun


 

KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Seramai 80 murid Tahun Enam  Sekolah Kebangsaan FELDA Purun, Bera, Pahang berpeluang menimba pelbagai pengalaman menarik dalam Program Kilauan Mutiara 2011 yang diadakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kuala Terengganu baru-baru ini.

Program tiga hari anjuran Kelab In-Smartive Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama UiTM Kampus Kuala Terengganu dan Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Terengganu itu berjaya mengeratkan hubungan yang sedia terjalin.

Program tahunan itu bertujuan untuk meningkatkan motivasi dan keyakinan para peserta yang akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi.
 
Peserta dibimbing dengan pelbagai aktiviti melibatkan Latihan Dalam Kumpulan, Teknik Menjawab Soalan, Si Buta dan Muhasabah Diri di bawah bimbingan para fasilitator yang terdiri di kalangan pelajar UMP.

Menurut Presiden Kelab In-Smartive, Mohd Fakhrol Radzi Zulkefli, kejayaan pelaksanaan Kilauan Mutiara yang telah menjangkau tiga tahun kini terletak pada kekuatan kerjasama antara In-Smartive dan pihak Sekolah Kebangsaan FELDA Purun serta semangat khidmat para fasilitator yang mendukung prinsip 3K In-Smartive iaitu Kaunseling, Kepimpinan dan Kesukarelaan.
 
"Jika sebelum ini program ini tertumpu di dalam kawasan sekolah sahaja, kini pihak sekolah menampilkan komitmen yang lebih tinggi untuk membawa para peserta meluaskan perspektif minda melalui pelaksanaan program ini di luar,” katanya yang juga merupakan pelajar tahun tiga Kejuruteraan Kimia (Teknologi Gas) UMP.

Selain itu,  peserta turut dibawa melawat Taman Tamadun Islam yang merupakan antara tarikan utama pelancong yang datang ke Kuala Terengganu.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan FELDA Purun, Jamaluddin Mustafa berkata, setakat ini, sebanyak tiga generasi murid sekolah telah berjaya mengikuti Program Kilauan Mutiara ini sejak tahun 2009.

“Kami komited untuk terus menjadi sekolah angkat kepada Kelab In-Smartive UMP supaya program ini dapat terus dilaksanakan untuk mencelikkan minda anak-anak FELDA yang menuntut di sekolah ini,” kata beliau lagi.

 

Majlis perasmian penutup disempurnakan  Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMP, ACP (KS) Profesor Dr. Yuserrie Zainuddin di Dewan Sekolah Kebangsaan Mengabang Telipot, Kuala Terengganu.

Dr. Yuserrie mengalu-alukan kerjasama erat yang telah terjalin antara UMP dengan Sekolah Kebangsaan FELDA Purun dan menggesa Kelab In-Smartive untuk meneroka peluang pembiayaan dana dari sumber tempatan dan antarabangsa sebagai nilai tambah kepada projek-projek anjuran kelab tersebut.

Katanya,  Kelab In-Smartive merupakan antara kelab mahasiswa yang paling aktif di UMP, Justeru, kelab ini harus mengorak langkah yang proaktif untuk menjadi kelab contoh di universiti ini.

Manakala menurut Penasihat Kelab In-Smartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain, pihaknya sentiasa bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana institusi atau organisasi, terutamanya pihak Jabatan Pelajaran Negeri atau sekolah.

"Satu lagi siri Program Kilauan Mutiara akan diadakan pada 28 hingga 30 Mei akan datang melibatkan calon-calon UPSR Sekolah Kebangsaan Ayer Kuning dan Sekolah Kebangsaan Chenderiang di Tapah, Perak dan disusuli dengan pengendalian Kem Interaksi Pemimpin Muda atau IN-TEAM untuk para pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan Pelabuhan, Kuantan pada 16 hingga 18 Jun 2011,” ujar beliau yang juga pensyarah di Jabatan Pengurusan Teknologi, UMP.

Sekolah Kebangsaan FELDA Purun ini merupakan yang ketiga seumpamanya bagi tahun 2011 setelah siri pertama Kilauan Mutiara di Sekolah Kebangsaan Pelindung, Kuantan pada bulan Januari dan siri kedua di Sekolah Kebangsaan Keratong 2, Rompin pada bulan April yang lalu. 

Disediakan oleh Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain, Pensyarah Jabatan Pengurusan Teknologi dan Penasihat Kelab In-Smartive



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 18-05-2011, 17:03:02