Mahasiswa dan AADK turun padang dekati pelajar sekolah


  

 

Paloh Hinai, 28 April- Seramai 300 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Indera Shahbandar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Paloh Hinai menyertai program Mahasiswa@School anjuran Kelab PEMADAM Mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Agensi  Anti Dadah Kebangsaan (AADK).  Program Mahasiswa @ School adalah program yang berkonsepkan motivasi dalam pembangunan sahsiah diri serta memfokuskan para pelajar sekolah menengah sebagai golongan sasaran.

Objektif utama program ini adalah untuk mewujudkan pemikiran generasi muda yang bebas daripada pengaruh dadah serta menyediakan alternatif berfaedah yang dapat mencegah mereka daripada terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Menurut Setiausaha AADK Daerah Temerloh, Jamaluddin Ayob berkata, menjadi tanggungjawab setiap individu memastikan generasi masa hadapan hidup aman dan gembira tanpa dadah. Justeru, Kelab PEMADAM UMP dilihat sebagai rakan strategik  bagi mengekang penyalahgunaan dadah dalam kalangan belia.

 

 

“Fenomena penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah perlu dipandang serius kerana ianya mempunyai perkaitan dengan permasalahan disiplin seperti merokok, ponteng sekolah, melawan guru, mencuri, bergaduh dan merosakkan harta benda sekolah,” katanya.

Bagi Jamaluddin, pada kebiasaannya, pelajar yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah bukan sahaja menghadapi permasalahan disiplin dan akademik tetapi mereka juga terdedah kepada risiko gejala sosial di luar sekolah seperti penglibatan dengan kumpulan samseng, pergaulan bebas, melepak, kehamilan sebelum kahwin dan lari dari rumah.

Sementara itu, bagi Nur Syafikah Fazli,16 dari SMK Paloi Hinai menyatakan minat dengan program yang dianjurkan PEMADAM dan berhasrat untuk menyertai program pada masa akan datang. Berkongsi pendapat, beliau menyokong usaha pencegahan dadah yang ditumpukan kepada generasi muda memandangkan mereka ini merupakan tulang belakang dan pewaris kepimpinan negara  pada masa depan.

Turut hadir menyampaikan taklimat adalah Norulhuda Abdul Halim mewakili Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) dan Setiausaha Biro Latihan PEMADAM Malaysia, Hj Muhammad Suhaimi Abdullah Sani.

Disediakan oleh Mohammad Hakimi Kamarudin dari Bahagian Komunikasi Korporat PNC



Posted By : NUR LAILA BINTI AFANDI Date Posted : 25-05-2018, 15:33:57