KP House Pusat Transformasi Sosial Kuala Pahang


 

Kuala Pahang, 14 Mei – Kedudukan geografi kampus utama Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Mukim Kuala Pahang bukan sahaja merupakan satu mercu tanda istimewa yang melambangkan komitmen tinggi kerajaan untuk memartabatkan kecemerlangan pendidikan di daerah Pekan dan negeri Pahang, tetapi juga menuntut penglibatan proaktif dan sumbangan konstruktif warga kerja dan mahasiswa Universiti ini untuk mentransformasi landskap sosioekonomi, pemikiran dan sikap masyarakat setempat di setiap lapisan masyarakat.

 

Kuala Pahang yang dahulunya perkampungan nelayan tradisional kini semakin pesat membangun dan menikmati hasil limpahan ekonomi melalui kewujudan projek-projek pembangunan oleh kerajaan pusat di antaranya Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan projek-projek infrastruktur lain seperti pembinaan Kompleks Medan Ikan Bakar (MIB) yang menempatkan empat kilang pemprosesan hasil laut, empat restoran dan empat gerai jualan.

 

UMP memperkenalkan Program Facelift D’ Kuala Pahang ini dalam usaha untuk mengubah wajah dan identiti Kuala Pahang sebagai Perkampungan Nelayan yang berteknologi tinggi selain memaknakan kewujudan UMP sebagai salah satu Universiti Awam (UA) di Malaysia. Tumpuan telah diberikan terhadap transformasi fizikal, rumah-rumah kediaman, sumbangan perabot, lanskap dan program kesedaran kebersihan bagi merealisasikan ungkapan Baiti Jannati atau Rumahku Syurgaku dalam erti kata yang sebenarnya membabitkan masyarakat setempat di Kampung Kuala Pahang.

 

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Sri Dr Daing Nasir Ibrahim, universiti berhasrat untuk merealisasikan transformasi landskap sosioekonomi, pemikiran dan sikap masyarakat setempat dengan fokus khusus terhadap inisiatif Facelift (pembaharuan wajah) yang meliputi aspek fizikal tempat kediaman, kemahiran keusahawanan dan kesedaran pendidikan dalam kalangan kumpulan sasaran yang dikenalpasti sebagai penerima manfaat.

 

 

“Dalam konteks kesedaran pendidikan, terdapat keperluan supaya tumpuan khusus diberikan kepada generasi muda bagi menyuntik motivasi akademik dan kecemerlangan kendiri secara terarah sebagai pelestari agenda transformasi landskap sosioekonomi masyarakat setempat di Kuala Pahang. Aspirasi ini diupayakan melalui agenda kesukarelawanan pendidikan (educational volunteerism) dengan pendekatan dan metodologi yang berstruktur dengan fokus terhadap pencapaian akademik, pemikiran kelas pertama dan penghijrahan sikap dalam kalangan penerima manfaat yang dikenal pasti,” katanya.

 

Justeru, kewujudan Kuala Pahang House atau singkatannya KP House ini merupakan pusat sehenti aktiviti dan interaksi yang diupayakan sebagai wahana transformasi pengetahuan dan pendidikan dalam kalangan masyarakat setempat terutamanya dalam kalangan generasi muda di Kuala Pahang. Pelaksanaan inisiatif kini memberi tumpuan kepada aspek motivasi diri, literasi pengetahuan, penerapan minat pelajar terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik dan Sains (STEM) dan Bahasa Inggeris melalui penglibatan warga kerja dan mahasiswa Universiti ini dalam memasyarakatkan kampus.

 

Kewujudan UMP telah menjadi pemangkin kepada landskap sosioekonomi penduduk Kuala Pahang yang mana telah mewujudkan lebih 300 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan melalui skim perkhidmatan ikhtisas melibatkan seramai 70 orang dilantik sebagai Pembantu Teknikal Lanskap dan Pembersihan dan seramai 175 orang penduduk Kuala Pahang juga turut memperolehi maanfaat dari peluang pekerjaan melalui kontrak pembersihan dalam UMP.

 

 

 

Ujarnya lagi, sebanyak 7 buah kafeteria dalam universiti diusahakan oleh penduduk di Kuala Pahang selain menggunakan tenaga kerja yang terdiri dari penduduk tempatan. Malahan kewujudan gerai-gerai makan baharu di sekitar Kuala Pahang yang memberikan lebih banyak pilihan kepada penduduk di Kuala Pahang. Ianya sekaligus meningkatkan taraf hidup penduduk kampung dengan aktiviti yang boleh menjana pendapatan keluarga yang kebanyakannya berpendapatan rendah (B40) dan bekerja sebagai nelayan.  

 

Baru-baru ini berlangsungnya kunjungan ahli Parlimen Pekan, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak melawat projek Facelift UMP. Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah UMP, Dato’ Nur Azita Abdul Rahman, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyGift, Dato’ Mohd. Nizar Dato’ Sri Mohd. Najib dan Izwan Hasli Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, Ketua Pegawai Operasi UMP, Abd. Hamid Majid dan Ketua Timbalan Pendaftar UMP, Datin Sri Fazia Ali.

 

Sehingga kini program dijalankan secara besar-besaran dalam memasyarakatkan universiti menerusi pengetahuan dan teknologi membabitkan seramai 61 peserta di Kuala Pahang (55 buah bagi projek ubah suai rumah dan 6 projek rumah baharu- 3 daripadanya telah siap dibina). Selain Kg Kuala Pahang, UMP berhasrat program Facelift nanti bakal memanfaatkan penduduk yang dikenalpasti sekitar Kg. Marhum, Taman Mutiara di Kuala Pahang dan Kg. Serun Dalam di Nenasi Pekan. 

 

Universiti turut berkongsi kepakaran dengan memberi bimbingan dan tunjuk ajar daripada pensyarah UMP dalam menjayakan projek pertanian fertigasi dengan menggunakan teknologi terkini kepada penduduk setempat. 



Posted By : NUR LAILA BINTI AFANDI Date Posted : 14-05-2018, 13:15:01