UMP menang Anugerah Buku Negara 2018

UMP MENANG ANUGERAH BUKU NEGARA 2018
Kuala Lumpur, 30 April – Kecemerlangan Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam bidang penerbitan terus menyinar apabila buku ‘Mutiara Mahkota: Tengku Abdullah al-Haj’ terbitan Penerbit UMP menang Anugerah Buku Negara 2018 (Buku Umum Terbaik – Kategori Biografi Diraja) sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIBF) 2018 baru-baru ini.
Buku setebal 269 halaman ini mengisahkan riwayat hidup Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah yang juga Canselor UMP adalah cetusan inspirasi Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Sri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan dihasilkan oleh Pensyarah Undang-undang di Fakulti Pengurusan Industri, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain dan Pereka Kanan di Pejabat Naib Canselor, Azman Md. Diah.
Menurut Pengarah Penerbit UMP, Prof. Madya Dr. Abdul Ghani Awang berkata, pihaknya sentiasa memberi galakan berterusan kepada warga kerja Universiti ini untuk menghasilkan karya-karya berkualiti yang layak dinilai untuk pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. 
Beliau turut menambah bahawa kejayaan mengungguli Kategori Biografi Diraja yang julung-julung kali diperkenalkan dalam edisi Anugerah Buku Negara kali ini membuktikan kemampuan UMP meneroka kajian tokoh secara biografikal bagi merancakkan aktiviti penyelidikan dan penerbitan ilmiah di Universiti ini.
‘Mutiara Mahkota: Tengku Abdullah al-Haj’ yang dilancarkan sendiri oleh Pemangku Raja Pahang semasa Majlis Makan Malam sempena Konvokesyen ke-12 UMP pada 17 November 2017 memuatkan enam bab dan 158 foto bersejarah mengenai riwayat hidup Baginda dan Kesultanan Pahang yang diperolehi daripada pelbagai sumber autoritatif dari dalam dan luar negara. 
Turut menghiasi kandungan buku ini ialah 42 rangkap ‘Syair Tengku Mahkota’ nukilan Wan Nazrul Helmy yang juga Ketua Penyelidik di Pejabat Naib Canselor.
Sementara Itu bagi  Wan Nazrul Helmy, pihaknya mengambil masa hampir empat tahun untuk menghasilkan karya ini yang melalui penyelidikan teliti termasuklah semakan manuskrip secara peribadi oleh Pemangku Raja Pahang bagi memastikan ketepatan fakta yang dipaparkan. 
Kata beliau lagi, bagi menghidupkan kandungan buku ini sebagai sebuah ‘muzium yang boleh dibaca dan dibawa ke mana-mana’, kerangka naratifnya distrukturkan berdasarkan teknik ‘zine’ yang popular di Barat tetapi jarang digunakan dalam karya sedemikian dalam Bahasa Malaysia.
Anugerah Buku Negara merupakan acara tahunan kelolaan Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) yang menerima 400 permohonan pencalonan bagi 48 kategori untuk edisi 2018 ini yang dinilai oleh Panel Profesional yang dipengerusikan oleh Prof. Tan Sri Dr. Abdul Latiff Abu Bakar iaitu Ketua Sekolah Warisan & Ketamadunan, Universiti Islam Malaysia. 
Penganugerahan sijil dan trofi kepada pemenang di Hotel Seri Pacific dekat sini telah disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose. Turut hadir ialah Pengerusi YPBN, Haji Hasan Hamzah; Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Haji Abdul Adzis Abas; Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik Berhad, Dato’ Dr. Ir. Mohd Abdul Karim Abdullah selaku penaja utama Anugerah Buku Negara 2018.
 
Berita disediakan oleh Mohd Mukhris Awang manakala foto oleh Muhammad Naufal Samsudin.

Posted By : NORHIDAYAH BINTI MOHAMAD Date Posted : 03-05-2018, 12:38:26