UMP Hulur Sumbangan Kelengkapan Sekolah Keluarga Asnaf dan Anak Yatim


 

Kuantan, 28 Disember- Seramai 70 anak-anak dalam kalangan asnaf dan anak yatim sekitar Gambang, Kuala Pahang, Nenasi dan Kuantan  berpeluang memilih pakaian sekolah mereka sendiri dalam “Program Back To School” anjuran Universiti Malaysia Pahang ( UMP) dengan kerjasama Persatuan Wanita UMP (Matahari) dan mendapat sokongan pihak QSR Brands (M ) Holdings Berhad yangmenyediakan juadah makan tengah hari di Restoren KFC hari ini.

Hadir dalam program, Presiden Persatuan Wanita UMP, Prof Datin Dr Mimi Sakinah Abdul Munaim, Timbalan Pendaftar Kanan Jabatan Pendaftar, Haryani Abdullah dan Aisyah Khairulanuar, Eksekutif Halal di Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal QSR Brands (M ) Holdings Berhad. 

 

Menurut Prof Datin Dr Mimi, sumbangan baju dan kelengkapan sekolah ini diberikan untuk meringankan bebanan ibu bapa yang kurang mampu dan merupakan sebahagian daripada inisiatif Program MyGiftUMP dalam memasyarakatkan kampus.

"Mereka yang terpilih ini dibawa untuk membeli  kelengkapan sekolah yang mana  setiap seorang diberi peluang memilih sendiri sepasang baju dan kasut, beg dan alat tulis.

“Sumbangan ini juga diterima hasil daripada orang perseorangan yang disalurkan melalui persatuan dan Tabung MyGiftUMP. Sumbangan  baju sekolah ini tentunya dapat membantu ibu bapa murid terbabit membuat persiapan awal menjelang sesi persekolahan 2018," katanya. Selain itu beliau yakin ibu bapa mereka tidak lagi membeli baju sekolah baru, jadi sumbangan ini dapat menjimatkan perbelanjaan persekolahan anak-anak  serta menyuntik semangakt anak-anak untuk bersemangat ke sekolah.

 

Tambah beliau, mereka yang hadir hari ini adalah dalam kalangan anak yatim UMP dan anak-anak peserta program Facelift UMP D'Kuala dan hasil kesinambungan program MyGift yang dijalankan sepanjang tahun terutamanya dalam usaha membantu komuniti setempat. 

Sebahagian mereka merupakan penduduk Kuala Pahang yang terlibat dalam Program Facelift D'Kuala yang sedang dijalankan UMP dalam membantu membaikpulih rumah-rumah penduduk yang berada di laluan masuk utama untuk ke Kompleks Medan Ikan Bakar di Kuala Pahang. Ianya dilaksanakan dengan bantuan daripada pelbagai agensi dan badan korporat bertepatan dengan strategi lautan biru sekaligus dapat membantu mengubah landskap sosial penduduk kawasan Kuala Pahang.

 



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 28-12-2017, 16:36:15