Sukarelawan InSmartive Timba Pengalaman Bersama Komuniti Orang Asli Dalam Projek Semaian Kasih


 

 

Kampar, 17 Disember – Seramai 18 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dari Kelab InSmartive menimba pengalaman baharu dengan menyantuni komuniti Orang Asli di kampung Pos Dipang dekat sini melalui Projek Semaian kasih yang berakhir hari ini. Pemukiman mereka bersama para sukarelawan lain di sana selama tiga hari menyaksikan pengelolaan aktiviti khidmat komuniti dan program khatan perdana dengan kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA) Perak, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Majlis Agama Islam & Adat Melayu Perak (MAIPk), Universiti Kuala Lumpur - Royal College of Medicine Perak (UniKL-RCMP), Persatuan Doktor Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PDPUKM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Batalion 23, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dari Kem Tambun, Ipoh.

 

Menurut Penyelaras Projek yang juga mahasiswa Tahun Empat dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan, Muhamad Farid Sulaiman, 22, pelaksanaan inisiatif ini merupakan menifestasi komitmen InSmartive untuk meluaskan jaringan libatsama sosialnya bersama masyarakat Orang Asli sebagai sasaran penerima manfaat yang perlu diberikan perhatian. Muhamad Farid turut menambah bahawa peluang interaksi dengan masyarakat Orang Asli dan para sukarelawan dari organisasi lain sepanjang projek ini mematangkan lagi kemahiran komunikasi dan meningkatkan pemahaman para mahasiswa UMP mengenai keunikan budaya setempat.

 

 

Antara aktiviti yang mengisi projek ini ialah Ziarah Desa, Sukaneka, Wayang Pacak, English Fun Learning, Cakna Kesihatan, Pameran Peralatan Ketenteraan dan Khatan Perdana untuk 20 kanak-kanak lelaki tempatan. Projek ini turut dimeriahkan dengan aktiviti ‘Cak Entoi’ iaitu kenduri desa untuk 600 tetamu.

Keunikan pengalaman yang ditimba dalam projek ini turut diakui oleh Dyane Dolmin, 19, mahasiswa Tahun Satu dari Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam UMP yang berasal dari Sabah. “Inilah kali pertama saya berkesempatan untuk mengenali masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia sejak saya belajar di UMP pada bulan September 2017 yang lalu dan interaksi sepanjang projek ini membolehkan saya memahami cara hidup dan adat resam mereka”, ujar Dyane.

 

 

 

Majlis Penutupan Projek telah disempurnakan oleh Pengerusi MRA Perak, Profesor Dr. Abd Karim Russ Hassan yang juga Pensyarah Perubatan di UniKL-RCMP. Dalam ucapannya, Profesor Dr. Abd Karim Russ menzahirkan kesediaan MRA untuk mengembangkan lagi jaringan kerjasamanya dengan Kelab InSmartive UMP dalam program seumpama ini pada masa hadapan. Turut hadir dalam majlis penutupan tersebut ialah Pengerusi PDPUKM, Profesor Datuk Dr. Razman Jarmin; Penolong Ketua Kompeni Batalion 23 RAMD, Kapten Fazrin Wahab; Mubaligh JAIPk Pos Dipang, Ustaz Abd Halim Abdul Latiff; Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pos Dipang, Ahmad Tarmizi Sharif; dan Pembantu Penyelidik, Pejabat Naib Canselor UMP, Mohd Mukhris Awang yang mewakili Penasihat InSmartive.  Untuk rekod, kampung Pos Dipang terletak 45 kilometer ke Barat Daya Bandar Raya Ipoh dan dihuni 50 keluarga dari suku Semai dan Temiar yang menganut pelbagai agama dan kepercayaan. Hanya boleh diakses dengan kenderaan ringan, kampung ini pernah menerima liputan luas media berikutan peristiwa banjir lumpur pada 29 Ogos 1996 yang mengorbankan 44 orang penduduk tempatan.

 

Berita disediakan oleh Mohd Mukhris Awang, Pembantu Penyelidik, Pejabat Naib Canselor UMP manakala foto oleh Nurul Azrina Mohd Nazri dan Izzinaidah Rosli.



Posted By : NUR LAILA BINTI AFANDI Date Posted : 20-12-2017, 12:19:06