UMP tingkat kesedaran bahaya asbestos untuk pelajar sekolah


 

Kuantan, 11 November-  Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini melakukan kerja-kerja berkaitan menyapu bahan coating ke atas atap asbestos di  SK Indera Shahbandar Pekan sumbangan Syarikat Eco24 Jepun sempena Program CSR Rasa Kasih UMP dan ECO24.  Terdapat banyak asbestos digunakan pada struktur bangunan dan sebagainya di sekolah-sekolah di Malaysia. SK Indera Shahbandar merupakan sekolah pertama yang terpilih untuk menerima sumbangan ECO24 dalam bentuk material ‘coating’ yang digunakan untuk menyalut atap asbestos di kawasan sekolah ini.


Hadir dalam program CSR Rasa Kasih UMP-ECO24 ini,  Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato Dr Yuserrie Zainuddin, Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Jamil Ismail,  Pengarah Urusan UMP Holdings Sdn Bhd (UMPH), Syed Mohamad Hamzah Al-Junid Syed Abdul Rahman dan  Ketua Projek, Dr. Daing Mohamad Nafiz Daing Idris dari Energy Sustainability Focus Group (ESFG) Fakulti Kejuruteraan Mekanikal. 

 

Turut hadir Pengarah Urusan ECO24 Jepun,  Kiyotaka Osada, Pegawai Pendidikan Daerah Pekan, Dr. Haji Tajuddin Mohd Yunus, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Indera Shahbandar; Mohammad Ismail dan Wakil Japan International Cooperation Agency Malaysia, Yukiyasu Sumi. 

 

 

Menurut Profesor Dato Dr Yuserrie, kerjasama di antara UMP dan ECO24 terjalin bermula tahun 2016 apabila termetrainya memorandum persefahaman dalam penyelidikan coating apabila pihak ECO24 mendermakan bahan salutan (coating) dan geran penyelidikan berjumlah RM1.3 juta kepada UMP.  "Melalui program khidmat sosial ini, para pelajar SK Indera Shahbandar dan mahasiswa UMP dapat didedahkan tentang bahaya asbestos kepada kesihatan kita. Pendedahan kepada partikel asbestos boleh menyebabkan risiko mendapat penyakit berkaitan asbestos seperti mesathelioma, kanser paru-paru dan asbestosis," katanya.

 

Sinergi CSR ini merupakan satu aspek yang amat penting untuk diberikan perhatian serius dalam konteks pembinaan kemenjadian pelajar dan pembangunan kecemerlangan sekolah seperti yang diaspirasikan kerajaan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025. Komitmen pihak pengurusan Universiti ini dizahirkan melalui pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2016-2020 yang didasari tagline “Memasyarakatkan Teknologi” dalam agenda Universiti Komuniti. Justeru, apa yang kita lakukan di SK Indera Shahbandar pada hari ini adalah manifestasi komitmen strategik tersebut.


Tambahnya, penggunaan salutan coating “Ecobest” ke atas atap asbestos di parkir kereta guru-guru ini merupakan satu inisiatif bagi menggalakan aplikasi teknologi terkini melalui kaedah penggunaan coating yang mesra alam dan terbukti berkesan dalam menyelesaikan masalah partikel asbestos terbang ke udara. Ini sekaligus dapat menjamin kesihatan mereka yang berada di kawasan berdekatan daripada terhidu partikel asbestos yang berterbangan di udara.

 

 

Selain itu, penggunaan Ecobest yang diperkenalkan di SK Indera Shahbandar pada hari ini boleh membantu mempercepatkan penyelesaian masalah berkaitan asbestos berbanding kaedah menanggalkan asbestos yang memakan masa lebih lama, memerlukan prosedur kerja selamat yang ketat dan proses pelupusan asbestos yang rumit. Kaedah menyapu coating pada asbestos bukan sahaja mampu menjimatkan kos, malah turut berupaya meningkatkan jangka hayat atap asbestos.


Bersempena dengan itu turut diadakan program bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah dan melukis mural di dinding untuk menambah keceriaan sekolah.  Mereka juga mengikuti program Kem Bahasa Inggeris dengan Kelab InSmartive dan bengkel permainan catur yang dikendalikan oleh staf dan mahasiswa UMP yang bertujuan meningkatkan kebolehan berbahasa Inggeris dan permainan catur para peserta. Selain itu, kerjasama dalam kalangan staf UMP dan SK Indera Shahbandar dalam menjayakan program seperti ini akan jadi pemangkin kepada program-program lain pada masa hadapan yang berupaya membantu transformasi kawasan Kuala Pahang. 




Posted By : NORHIDAYAH BINTI MOHAMAD Date Posted : 13-11-2017, 11:48:27