Indeks buku tingkat sitasi penerbitan


 

 

Kuantan, 7 November- Pengindeksan buku adalah strategi baharu dalam kalangan penerbit universiti dalam usaha mempromosikan profil pembaca dan pengarang mereka di peringkat antarabangsa.

 

Justeru itu, Penerbit UMP juga tidak terkecuali dalam usaha mencapai aspirasi ini pihaknya bekerjasama dengan Prof. Madya Dr Shahryar Sorooshian dari Fakulti Pengurusan Industri dengan memulakan gerak kerja untuk menyebarluaskan buku-buku terbitan Penerbit UMP dalam pelbagai pangkalan data yang bersesuaian.

 

Menurut Pengarah Penerbit UMP, Prof. Madya Dr. Mohd.  Ghani Awang berkata, pengindeksan buku akan meningkatkan sitasi penerbitan UMP serta strategi penjenamaan untuk UMP dan hasilnya, buku pertama Penerbit UMP berjudul  Collection of Teaching Cases for Business Administration Studies  (ISBN 978-967 2054-50-4) telah diindeks dalam Open Science Framework (OSF) dan terbuka untuk diakses di seluruh dunia.  

 

“Buku tersebut  akan muncul di Google Scholar, Mendeley dan beberapa lagi pangkalan data yang lain dan ini merupakan usaha serta inisiatif berterusan Penerbit UMP dalam membantu universiti untuk meningkatkan skala webometrik.

 

Tambahnya lagi, strategi usaha sama tersebut adalah kaedah terbaru hasil kerjasama antara Penerbit UMP dan penulis untuk merealisasikan hasrat universiti dalam menerbitkan buku di peringkat antarabangsa.

 

“Sehubungan itu, kami amat menggalakkan sokongan mana-mana penulis yang berhasrat untuk menerbitkan buku bersama kami dalam pelbagai bidang akademik. Pengindeksan buku adalah salah satu platform untuk meningkatkan sitasi kepada mereka selain dari penulisan artikel di dalam jurnal,” katanya.

 

Berita ditulis oleh Muhammad Azli Shukri dari Penerbit UMP.



Posted By : NUR LAILA BINTI AFANDI Date Posted : 10-11-2017, 08:22:06