Santai Seni Warisan Meriah Buka Tirai Expokonvo UMP


 

Pekan, 7 November- Mahasiswa Universiti  Malaysia Pahang (UMP) menjayakan program Santai Seni Warisan yang dianjurkan Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP dan Majlis Daerah Pekan yang berlangsung di Dataran Pekan baru-baru ini dengan menampilkan pelbagai persembahan tarian dan nyanyian serta acara permainan tradisional Melayu dan Borneo buat komuniti di Pekan.

Hadir menyaksikan majlis, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan, Abd Rahman Hj Safie, Timbalan Pengarah Jabatan kebudayaan dan Kesenian Negeri Pahang, Norazlin Nordin dan Pengarah program Perezkov Jaimbo.

Program membabitkan seramai 160 mahasiswa  mempamerkan persembahan tarian kebudayaan, nyanyian membabitkan Kumpulan Kencana Pawana dan Kustari Borneo daripada Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian UMP dan dan persembahan kompang Sekretariat Ikatan Siswa Anak Darul Ta’zim (ISKANDAR).

Menurut Prof. Dato’ Dr. Yuserrie, program ini dapat menampilkan kreativiti mahasiswa dalam bakat seni. Program ini juga dapat memperkenalkan UMP kepada khalayak ramai serta menjadi sebahagian program Tahun Melawat Pahang bagi menggalakkan pelancong ke negeri Pahang.  

“Penganjuran ini membuka tirai Expokonvo 2017 UMP menjelangnya Majlis Konvokesyen Kali ke-12 yang akan menjelang tiba pada 18 November nanti. Selain itu menggalakkan mahasiswa untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kebudayaan bagi mencungkil bakat dan kepimpinan mahasiswa agar mereka lebih kompeten dan berdaya saing berdepan dengan alam pekerjaan nanti,” katanya yang hadir merasmikan pelancaran Pra- Expokonvo.

 

Sepanjang Expoconvo dan Majlis Konvokesyen Ke-12 ini nanti  orang ramai dapat berkunjung dan mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan untuk mereka mengenali UMP dengan lebih dekat serta merasai pengalaman kampus. Ianya juga merupakan satu medium promosi yang amat berkesan dalam memasyarakatkan universiti dengan komuniti sekitar.

Bersempena itu juga UMP juga bakal jadi tumpuan pemancing sempena penganjuran Pertandingan Memancing Terbuka Expokonvo pada 11 November depan dengan kerjasama Kumpulan Utusan untuk memberi peluang orang ramai menyaksikan keindahan kampus hijau di samping menyokong pendidikan pelancongan dalam kampus. 

Manakala terdapat lebih 60 gerai jualan dan ExpoBazar UMP untuk dikunjungi bermula minggu ini. UMP juga mengadakan Pameran Mutiara Mahkota Tuanku Canselor yang menempatkan koleksi gambar menarik serta cenderamata untuk dimiliki di Galeri UMP.

Memeriahkan Expokonvo adalah segmen pendidikan untuk pelajar sekolah termasuklah Program Spell It Right, Choral Speaking, Street Science @Gallery dan Pertandingan Mewarna dan Pakaian Beragam khusus untuk kanak-kanak. Pertandingan Memasak Masakan Pahang diadakan sebagai mempromosikan resepi tradisi di negeri ini yang terkenal dengan Patin Gulai Tempoyak, Opor Daging, Sambai Hitam Pahang dan Puding Diraja.

  

Manakala program hiburan dalam Acoustic Battle, Malam Santai & Zikrullah, Solo or Duo dan Konsert Milenia Expokonvo 17 bakal memeriahkan acara. Lain-lain Healthy Masterchef, Mini Maha bersama RTC, Ladies Moment, Resepi Cinta bersama PU Lokman dan Bengkel Pengurusan & Imej.

Selain itu program berbentuk cabaran seperti Samyang Fire Noodle Challenge, eXpo Run, eXpo Zumba, eXpo Race The Amazing of Iron Man, Futsal Challenge dan Fun Run bakal mendapat sambutan bagi yang meminati sukan sebagai membudayakan gaya hidup sihat. Begitu juga dengan Program Makan Buah-buahan bersama Alumni memberi peluang lepasan graduan kembali semula untuk menikmati suasana kampus.

Majlis Konvokesyen UMP Kali ke-12 bakal disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah al-Musta’in Billah pada sidang pertama bermula 18 November di Kompleks Sukan UMP dan berakhir pada 20 November depan yang menyaksikan seramai 2845 graduan.



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 09-11-2017, 15:48:42