Buku Mandarin For All Menang Anugerah Khas


 

Kuantan, 7 November - Buku Mandarin For All terbitan Penerbit Universiti Malaysia Pahang (UMP) memenangi  pingat emas dan anugerah khas  dalam Pameran Penyelidikan ‘British Invention Show’, di  London baru-baru ini. Buku tulisan Guru Bahasa dari Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK), Yong Ying Mei ini adalah sebagai persediaan bagi menduduki ujian Hanyu Shuiping  Kaoshi (HSK) yang dilengkapi dengan penggunaan teknologi pendidikan iaitu pengimbas semak kod QR untuk audio.

Beliau yang juga ketua projek bagi penyelidikan Mandarin For All itu berkata, usaha berkenaan adalah hasil kerjasama dari pasukannya , Cheng Chin Yee untuk menghasilkan buku yang sesuai untuk calon HSK, terutamanya pelajar bukan natif.

“Kandungan buku direka berdasarkan silibus HSK tahap satu dan dua yang memenuhi syarat Common European Framework of Reference for Language (CEFR). Keberkesanan ini turut diperakui apabila pelajar bukan Cina dapat menguasai bahasa Mandarin dalam tempoh 28 jam.

“Kejayaan ini turut dipengaruhi oleh inovasi dalam pembangunan teknologi pendidikan melalui pengimbas semak kod QR dengan telefon pintar untuk mempelajari sebutan bahasa Mandarin,” katanya.

Sebelum ini, produk berkenaan turut memenangi pengiktirafan di peringkat kebangsaan  dan antarabangsa pada tahun ini seperti Anugerah Buku Negara (ABN), Ekspo Penyelidikan, Penciptaan, Inovasi dan Teknologi (CITREX) dan Pameran Antarabangsa Penciptaan, Inovasi dan Teknologi (ITEX).

Pengarah Penerbit, Profesor Madya Dr Mohd Ghani Awang berkata pencapaian berkenaan adalah yang  terbaik setakat ini berikutan memenangi anugerah di luar negara dan buku berkenaan boleh didapati di Penerbit UMP dengan harga RM45 senaskhah dan bakal dimuat naik di dalam e-Book Penerbit tidak lama lagi.

Katanya,  usaha gigih guru bahasa berkenaan wajar dicontohi oleh penyelidik bagi menghasilkan buku yang berkualiti dan baik untuk kegunaan pelajar dan masyarakat

“Kami amat mengalu-alukan kerjasama daripada penulis sekiranya mempunyai idea untuk mengembangkan ilmu pengetahuan menerusi penulisan buku dan modul. Kami juga bersedia membantu dan membimbing pensyarah dalam bidang penulisan sekiranya mereka berminat untuk menghasilkan buku,” katanya. 


Disediakan Shalfarina Shahriman dari Penerbit UMP



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 07-11-2017, 13:14:59