Mahasiswa Beri Sokongan Padu Terhadap Aspirasi TN50


  

 

Kuantan, 9 November- Lebih 4000 generasi muda dalam kalangan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan institusi pengajian tinggi (IPT) khususnya di Pantai Timur memberi sokongan padu dalam menyampaikan aspirasi mereka dalam Dialog Transformasi Nasional 50 (TN50) yang  berlangsung di Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Gambang. 

 

Siri Jelajah TN50 pada kali ini menyaksikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh berkongsi pentas membincangkan  tajuk “Ke Arah Sistem Pendidikan Terbaik di Dunia” baru-baru ini.

 

Sebanyak 35 aspirasi berimpak tinggi berjaya disuarakan yang keseluruhannya melibatkan dua aspek utama iaitu pendidikan seimbang dan perpaduan kaum. Di antaranya adalah hasil cetusan mahasiswa UMP, Yusra Syazwani Azman untuk mewujudkan universiti sukan menjelang tahun 2050 supaya Malaysia dapat melahirkan atlet yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang sukan malah dalam bidang pendidikan.

 

 

 

Selain itu isu  pinjaman biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut disuarakan oleh mahasiswa dari UMP, Nur Aqilah Adnan, 21 yang mencadangkan agar JPA menukarkan semula status pinjaman kepada penajaan dan seperti syarat yang telah ditetapkan.

 

Dalam pada itu, Dato’ Seri Idris Jusoh juga mengatakan bahawa Malaysia satu-satunya negara  yang  melaksanakan Program Dua Universiti + Dua Industri (2u2i) yang kini sedang dilaksanakan di beberapa universiti awam dalam  meningkatkan sistem pendidikan tinggi di negara.

 

“Pandangan mahasiswa mahu melihat negara yang maju dan bersatu padu, adil, sikap yang lebih humanistic kepada rakyat dan menjadi asas kepada TN50,” katanya.

 

 

 

Sementara itu, Khairy mengharapkan negara mampu menggunakan ‘Digital Age’ sebagai platform untuk pendidikan seperti yang telah dilaksanakan di negara-negara Eropah dan Malaysia tersenarai di antara 20 sistem pendidikan terbaik di dunia kelak. Semua aspirasi ini akan dikumpul dan dibukukan yang mengumpulkan aspirasi belia 2020. Pada masa ini TN50 telahpun masuk ke fasa kedua apabila kumpulan masa depan telahpun mengadakan perbincangan yang mengambil kira lebih 1.2 juta rakyat di negara ini. Program turut dihadiri Naib Canselor UMP, Prof Dato’ Ts. Dr Daing Nasir Ibrahim dan barisan pengurusan universiti dan pemimpin setempat.

 

Disediakan oleh Awani Rangers UMP, Shaza Akmalina Badrul Kamal dan Tengku Nadzirah Tengku Majani dari Kelab Media Massa UMP dan suntingan Bahagian Komunikasi Korporat. Awani Rangers UMP adalah hasil kerjasama strategik Astro AWANI dan UMP.



Posted By : NUR LAILA BINTI AFANDI Date Posted : 10-11-2017, 12:46:30