Lebih 1 tan ikan dilepaskan untuk buruan pemancing di Tasik UMP


 

 

Pekan, 9 November- Sebanyak 1 tan ikan dilepaskan ke Tasik Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Pekan yang bakal menjadi tumpuan pemancing dalam Pertandingan Memancing Terbuka sempena Expokonvo UMP ini akan diadakan pada 11 November ini menjelangnya Majlis Konvokesyen UMP pada minggu hadapan. Sumbangan ikan Keli dan Patin adalah tajaan UMP EcoPest Sdn. Bhd (EcoPest) yang terkenal dengan produk  Pisoptera yang merupakan umpan tiruan membasmi anai-anai dan Pest Killa dalam menangani masalah serangga perosak.

Hadir sama Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP, Abd. Rahman Hj. Safie, Pengarah Urusan EcoPest , Ir. Abdul Syukor Abd. Razak yang juga Ketua Kluster Air Ranking UI Green Metric UMP dan Penolong Pengurus Pengurusan Jenama Kumpulan Utusan, Hazura Ahmad Halil dalam acara pelepasan ikan di Pusat Rekreasi Air di Tasik UMP. Bagi Abd. Rahman, penganjuran ini juga sebagai menyahut seruan universiti menjadikan UMP Pekan sebagai salah satu pusat pendidikan pelancongan (Edu-Tourism) di Pekan Pahang. Program ini bakal melibatkan penyertaan daripada komuniti di Pahang dan seluruh negara.

“UMP sentiasa menitik beratkan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar termasuk memastikan persekitaran tasik ini bersih agar tidak menggangggu ekosistem hidupan di tasik ini. Tasik ini juga sesuai buat orang ramai untuk menjalankan aktiviti  bersukan dan amalan gaya hidup sihat termasuk aktiviti rekreasi seperti perkhemahan dan bot kayuh,” katanya.

 

Tambah beliau, pertandingan memancing ini memberi peluang orang ramai menyaksikan keindahan kampus hijau di samping menjalinkan hubungan baik dengan komuniti setempat. Terdapat empat buah tasik di sekitar UMP dan salah satunya berhadapan perpustakaan yang berkeluasan 44.26 ekar. Tasik ini juga dilengkapi dengan trek jogging sepanjang 1,614 meter turut dilengkapi dengan laluan basikal sepanjang 1,524 meter.

Pertandingan memancing menawarkan pelbagai hadiah menarik menanti pemenang iaitu wang tunai RM7,000 kepada pemenang pertama, RM2,500 (pemenang kedua) dan RM1,000 (pemenang ketiga) selain pelbagai hadiah saguhati serta cabutan bertuah. Dengan yuran penyertaan sebanyak RM40 peserta 300 terawal berpeluang mendapat sehelai T-Shirt dan sekiranya bernasib baik mereka dapat menang hadiah lumayan,” katanya. Orang ramai boleh hadir di meja pendaftaran pada 10 November  mulai jam 3.00 petang hingga 10 malam dan pada 11 November mulai jam 6.30 pagi di Pusat Rekreasi Air UMP Pekan atau menghubungi urus setia di talian 013-2667011/ 013-3052811/ 012-2846811.

 

Disediakan Bahagian Komunikasi Korporat PNC



Posted By : NUR LAILA BINTI AFANDI Date Posted : 10-11-2017, 12:39:26