Bengkel penyelidik muda antara negara tingkat pengurusan sungai


 

Kuantan, 28 Oktober - Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) menganjurkan bengkel bertajuk "The 5th International Young Researchers Workshop on River Basin Environment and Management"  yang berjaya mengumpulkan seramai 55 peserta penyelidik muda dari negara Malaysia, Jepun, Australia, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Nepal.

Sebanyak 32 kertas kerja dibentangkan dengan memfokuskan pengurusan sungai dan persekitaran dalam bengkel yang berlangsung di Hotel Swiss Garden Resort Kuantan baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Dr Daing Nasir Ibrahim berkata, pengurusan sungai adalah penting bagi memastikan kebaikan bagi ekosistem, justeru tindakan proaktif diperlukan bagi melindungi alam untuk dimanfaatkan generasi akan datang. Beliau juga berharap lebih banyak kolaborasi antara UMP dengan pihak luar dapat dijalinkan untuk memberi manfaat pada masyarakat.

“Bengkel ini menggalakkan penyelidik-penyelidik muda berumur 30 tahun kebawah untuk berjumpa dan berbincang berkenaan permasalahan berkenaan pengurusan dan persekitaran lembangan sungai. Terdapat lima pembahagian skop dalam bengkel ini iaitu pengurusan air, sumber air dan pengurusannya, kualiti air dan implikasi terhadap kesihatan, teknologi persekitaran dan skop berkaitan isu-isu persekitaran semasa,” katanya.

Selain itu beliau mengharapkan dengan penganjuran bengkel ini peserta dapat membina rangkaian, berbincang tentang permasalahan serta memperoleh lebih banyak idea dalam mempertingkat pengurusan sistem sungai di negara masing-masing.

  

Pembentangan ucaptama disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Dato' Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim bertajuk "Environment (Water) Issues and Challenges in Malaysia" yang banyak membincangkan pemuliharaan sumber air dari pencemaran bagi kemaslahatan manusia. Ianya juga bagi memastikan kuantiti air mencukupi untuk kegunaan masyarakat kelak.

Turut hadir Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Profesor Dato' Dr Zularisam Ab Wahid, Pengarah Interdisciplinary Centre for River Basin Environment, Universiti Yamanashi, Profesor Kazama Futaba, Profesor Nishida Kei, Profesor Madya Tadashi Toyama, Assistant Profesor Takashi Nakamura, dari Universiti Yamanashi Jepun.

Dalam masa yang sama berlangsung selama dua hari ini turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) UMP dan Yamanshi Universiti, Jepun. 

Kerjasama bermula dengan penglibatan 10 orang pelajar yang mempunyai kedudukan cemerlang dalam akademik dari FTK ke Universiti Yamanshi, Jepun untuk program Sakura Exchange in Science pada tahun 2016. Program pertukaran pelajar ini dibiayai sepenuhnya oleh Japan Science and Technology Agency (JST).

Sepanjang program, pelajar telah didedahkan kepada proses perawatan air dan pengeluaran sumber bio dari sisa air dengan menggunakan mikroorganisma dan tumbuh- tumbuhan serta mempraktikkan penggunaan alat instrumen analisis berteknologi tinggi.


Disediakan oleh Nur Laila Afandi dan disunting oleh Bahagian Komunikasi dan Korporat.

 



Posted By : NORHIDAYAH BINTI MOHAMAD Date Posted : 01-11-2017, 10:20:06