Penyelidik UMP hasilkan cecair pembunuh kuman 'Sanitizerí


 

 

Kuantan, 24 Ogos– Sekumpulan penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya menghasilkan penyelidikan berkaitan penghasilan cecair pembunuh kuman 'Sanitizer’ dengan menggunakan daun sireh dan dapat mengelakkan masalah kulit merengsa.

 

Diketuai oleh pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTEK),  Prof. Datin Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim berkata, pada asalnya idea ini bermula dengan pencarian formula khas yang boleh menjadi antiseptik untuk digunakan dalam kehidupan melalui daun binahong.

 

Ujarnya, penyelidikan ini bermula pada tahun 2008 yang pada masa itu kami menggunakan daun binahong dalam menghasilkan produk seperti sabun dan krim. Namun penyelidikan tersebut dianggap kurang berjaya kerana kelihatan tidak menarik dan sukar dipasarkan.

 

“Seterusnya kami meneruskan penyelidikan lanjutan untuk menghasilkan produk antiseptik cecair pembunuh kuman 'sanitizer dengan menggunakan daun sireh. Kini, produk ini berjaya terhasil dengan dikenali sebagaiGerm Free Hand Sanitizer yang bukan sahaja berfungsi sebagai cecair pembunuh kuman malah dapat mengelakkan  masalah kulit merengsa,” katanya.

 

Produk ini  berjaya mengatasi masalah kulit merengsa yang sering dialami pengguna apabila menggunakan sanitizer sedia ada di pasaran berikutan penggunaan etanol iaitu bahan kimia alkohol yang asasnya dari petroleum.

 

 

 

Katanya, antara ciri –ciri lain yang terdapat pada produk ini iaitu ia mudah kering di tangan pemakai, tanpa perlu dibilas, kulit pemakai akan lembab apabila memakainya serta bauan lemon yang menyegarkan si pemakai.

 

Tambahnya lagi, bagi memastikan produk ini selamat digunakan, produk ini telah diuji di Makmal Bioserasi dan Klinik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pada masa sama juga produk ini dalam proses mendapatkan persijilan halal bagi cecair pembunuh kuman dan ia perlu melalui pelbagai proses termasuk perakuan pengurusan amalan terbaik daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

 

Proses ini mempunyai tiga peringkat dan kita kini berada di tahap ketiga, antara aspek diambil kira adalah memastikan kebersihan makmal, sekiranya berjaya memperolehnya maka peluang mendapat persijilan halal agak tinggi selain itu UMP  bakal menjadi pengeluar pertama yang mendapat persijilan halal  bagi produk cecair pembunuh kuman dan pengguna juga tidak perlu was-was menggunakannya.

 

Sehingga kini pengguna yang menggunakan produk ini  dikalangan dalaman UMP serta sebuah hospital swasta . Berdasarkan maklum balas pengguna yang diterima rata-rata memberikan maklum balas positif seperti kulit pemakai lebih lembab, bau limau  yang menyegarkan dan tidak merengsa seperti produk lain.

 

 

Bagi memudahkan penggunaannya, produk ini dibotolkan dengan isi kandungan sebanyak 80 ml dan ianya mudah disimpan dan dibawa dengan hanya  berharga RM12 sebotol. Selain untuk penggunaan harian, pihaknya juga turut menyediakan kotak  yang bersesuai untuk dijadikan cenderamata. 

 

Beliau mengharapkan produk ini akan diterima dan memberi manfaat kepada masyarakat seterusnya dapat dipasarkan secara meluas kerana secara tidak langsung ianya dapat meningkatkan kesedaran kepada masyarakat betapa pentingnya kebersihan (Hygiene) terutama tangan. 

 

Disediakan oleh Nor Salwana Mohd Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat PNC



Posted By : NUR LAILA BINTI AFANDI Date Posted : 05-09-2017, 17:07:25