UMP dan IIM Bina Budaya Integriti


 

Pekan, 10 Ogos- Universiti Malaysia Pahang (UMP) melalui Pusat Integriti dan Tadbir Urus Korporat Fakulti Pengurusan Industri (FGIC) tampil mengorak langkah bekerjasama dengan Institut Integriti Malaysia (IIM) menganjurkan program kesedaran bagi membina budaya integriti dan tadbir urus korporat dalam kalangan rakyat setempat khususnya di Pantai Timur.

Penganjuran program ini tepat pada masanya tatkala negara berdepan dengan isu-isu membabitkan kes Syarikat Pembekalan Air Negeri Sabah, Pusat Zakat Pulau Pinang, Felda Global Ventures dan Penjualan Tanah Rezab Melayu di Negeri Johor yang memberikan impak yang negatif kepada imej negara.  

Dalam usaha ini, UMP yang mendapat peruntukan dana daripada Yayasan Pahang untuk menguruskan FGIC telahpun menganjurkan persidangan pada bulan April yang lalu yang mana berjaya mengumpulkan sejumlah besar penjawat awam, para akademik dan pengamal industri untuk mengupas isu ini dalam usaha membudayakan konsep integriti.

 

Berkesinambungan dari itu, baru-baru ini berlangsung sesi dialog bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Dr. Anis Yussal Yusoff dengan tenaga pengajar muda dari Fakulti Pengurusan Industri (FIM) dalam membicangkan aspek penulisan, penerbitan dan pembentukkan FGIC sebagai Pusat Rujukan di Pantai Timur.

Menurut Datuk Dr. Anis, pensyarah muda juga boleh menggunakan Perpustakaan IIM sebagai usaha murni dalam merealisasikan hasrat Malaysia mencapai tahap integiti yang lebih baik. “IIM dan FGIC juga boleh bekerjasama dalam bidang penyelidikan di samping menawarkan khidmat pegawai-pegawai di IIM untuk bertindak sebagai penyelia lapangan bagi pelajar kedoktoran (PhD) dan Sarjana (Master) dengan melakukan penyelidikan dalam tajuk yang sama,” katanya.

Turut berlangsung wacana bertajuk “Merencana ke arah Negara Berintegriti – IIM sebagai Wadah” yang dipengerusikan Penasihat Undang Undang UMP, Datin Wan Maizurina Wan Othman. Hadir sama dalam program Koordinator FGIC, Prof. Dato’ Dr. Hasnah Haron, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dato Dr. Rosli Mohd Yunus, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin dan Pendaftar, Abd. Hamid Majid.

Menurut Dato’ Dr. Hasnah, wancana ini juga membahaskan kepentingan berintegriti ke arah pembangunan negara dengan memberikan contoh negara yang gagal kerana masalah berkaitan integriti dan tadbir urus korporat yang goyah. Perkongsian in juga memaparkan pengalaman IIM dalam memperbaiki situasi serta mempertabatkan semula imej negara ke arah menjadi negara yang kompetitif dan harmoni.

Program turut disertai ketua-ketua jaban dan pengurusan Yayasan Pahang, Kolej Yayasan Pahang, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah serta pegawai-pegawai daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang.

 

Disediakan oleh Profesor Dato’ Dr. Ishak Ismail dari Fakulti Pengurusan Industri 




Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 24-08-2017, 14:49:49