UMP jalin kerjasama dengan MRL dan CCCC dalam program kemahiran industri ECRL 


 

                                                                           
Putrajaya, 14 Jun- Universiti Malaysia Pahang (UMP) jalin kerjasama dengan Malaysia Rail Link (MRL) dan Syarikat Komunikasi dan Pembinaan China (CCCC) dalam meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran graduan dalam industri  kereta api di negara ini. Majlis diadakan bersempena Pelancaran Program Latihan Kemahiran Industri bagi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal menyediakan serta meningkatkan kemahiran graduan tempatan untuk diambil bekerja oleh kontraktor ECRL dan industri keretapi berteknologi ini. ECRL merupakan satu projek yang dijalankan kerajaan dalam membina  jajaran keretapi elektrik baharu yang akan menghubungkan negeri-negeri Pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang ke Lembah Kelang.
 
Di bawah MOU triparte ini pihak-pihak yang terlibat akan bekerjasama untuk menganjurkan dan melaksanakan Program Latihan Kemahiran Industri ECRL dan mempromosikan pertukaran dan kerjasama dalam latihan, pendidikan dan penyelidikan serta memupuk dan mengukuhkan hubungan antara MRL, CCCC dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia yang diwakili oleh Universiti Awam (UA).
                                                                           
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, antara bidang tumpuan kerjasama termasuklah program-program yang berkaitan dengan latihan seperti pengambilan dan pendaftaran peserta pembangunan silibus latihan profesional dan latihan industri, penyediaan tenaga pengajar, kemudahan latihan, penyelidikan dan pembangunan.
 
“UMP yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang teknikal ini dilihat mampu menyumbang kepada kelancaran dan kebolehcapaian matlamat bagi projek ini. Kerjasama ini juga dapat memberi peluang dalam pembangunan penyelidikan dalam bidang ini," jelas beliau.
 
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Darwis Abdul Razak turut mengulas, pihaknya berbangga dan berbesar hati dengan persetujuan kerajaan dan pihak-pihak terbabit terhadap inisiatif MRL, CCCC dan UA serta agensi lain bagi kerjasama  ini, sekaligus memberi faedah bukan sahaja untuk industri dan komuniti akademik di Malaysia tetapi juga kepada golongan belia terutamanya di wilayah Pantai Timur dan Malaysia secara umum.
                                                                            
Tambah beliau, peranan MRL dalam kerjasama ini adalah untuk menggabungkan serta mempelbagaikan keunikan dan kepakaran CCCC dan UA terutamanya dalam bidang  teknikal melalui kerjasama industri-akademia yang akan memberi manfaat kepada rakyat terutamanya dalam melatih graduan tempatan bagi memenuhi keperluan industri kereta api.
 
Dalam majlis ini sebanyak 13 perjanjian persefahaman telah bertukar tangan dengan disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang terlebih dahulu telah melancarkan program Program Latihan Kemahiran Industri ECRL. Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Sri Idris Jusoh dan Presiden CCCC International, Chen Zhong.
Lain-lain yang bertukar dokumen dengan  MRL dan CCCC termasuklah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Institut Teknologi MARA (UITM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Universiti Malaysia Kuala Lumpur (UNIKL), GIATMARA, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan juga Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sebagai rakan usaha sama dan rakan-rakan strategik bagi menjayakan program latihan kemahiran ini.

 

 



Posted By : NUR LAILA BINTI AFANDI Date Posted : 03-07-2017, 11:57:33