Pemangku Raja Pahang Lancar Pembinaan Kolej Kediaman Mawaddah UMP

Pekan, 6 Julai- Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku  Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang merupakan Canselor UMP dan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang hari ini berangkat menyempurnakan Majlis Pelancaran Pembinaan Kolej Kediaman Mawaddah dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri  yang berlangsung di Dataran Pusat Aktiviti Pelajar, Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Pekan. Hadir sama dalam majlis, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Dato Sri Mohd. Hilmey Mohd Taib dan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim.
Majlis menyaksikan satu lagi projek penting yang dibangunkan melalui inisiatif MyGift iaitu pembinaan Kolej Kediaman Mawaddah secara wakaf dengan kerjasama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang dikhususkan kepada mahasiswa UMP dari kalangan anak yatim dan asnaf di atas sebidang tanah yang berkeluasan dua ekar diperuntukkan dalam kawasan kampus UMP Pekan bagi tujuan projek ini dengan kos pembinaan berjumlah RM5 juta.
Menurut Dato’ Dr. Daing Nasir, inisiatif MyGift UMP menjadi platform crowdfunding yang sistematik dan berstruktur untuk universiti ini meneroka peluang pembiayaan bagi tujuan endowmen, wakaf pendidikan, bantuan asnaf, pembangunan fasiliti dan seumpamanya selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi.
Katanya, pihak pengurusan menyedari kepentingan penyertaan awam dan swasta dalam usaha pembangunan infrastruktur dan penyediaan fasiliti di Universiti ini melalui medium crowdfunding sebagai alternatif kepada pergantungan mutlak terhadap peruntukan kewangan dari kerajaan semata-mata.
“Pihak MUIP telah memberi kelulusan rasmi kepada UMP untuk memulakan kutipan wakaf bagi tujuan pembinaan Kolej Kediaman Mawaddah dengan bantuan dana permulaan dari MUIP berjumlah RM 400 ribu. Keputusan pihak pengurusan UMP untuk membangunkan projek Kolej Kediaman Mawaddah ini adalah bertitik-tolak daripada keprihatinan mendalam terhadap kesulitan hidup dan kekangan kewangan yang dihadapi segelintir mahasiswa bagi membiayai kos penginapan sepanjang tempoh pengajian mereka di Universiti ini,” katanya.
Menurutnya, inisiatif untuk mencari dana yang diperlukan bagi menampung kos pembinaan Kolej Kediaman Mawaddah ini secara intensif sejak tahun 2016 lagi. Selain kutipan dana wakaf yang diterima hasil sumbangan warga kerja Universiti ini melalui potongan gaji mereka,  UMP turut memerlukan sokongan para dermawan dari kalangan individu perseorangan, agensi awam, pertubuhan sukarela, badan swasta dan organisasi korporat untuk turut serta menghulurkan bantuan kewangan bagi merealisasikan projek Kolej Kediaman Mawaddah ini.
Tambah beliau, pembinaan bangunan asrama dua tingkat Kolej Kediaman dengan keluasan lantai 3,115.06 meter persegi ini akan dimulakan pada tahun ini juga dan dijangka siap pada tahun 2018. Selain menyediakan kemudahan penginapan untuk 220 mahasiswa, bangunan Kolej Kediaman Mawaddah ini apabila siap kelak akan turut dilengkapi dengan kemudahan lain seperti dewan makan, ruang serbaguna dan pejabat pentadbiran.
Dalam pada itu, mahasiswa dari kalangan anak yatim dan asnaf yang diberi kemudahan tempat tinggal di Kolej Kediaman Mawaddah ini akan dikecualikan daripada caj yuran penginapan sepanjang pengajian mereka di UMP. Mahasiswa akan dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada urusan akademik dan pengajian mereka tanpa perlu khuatir mengenai masalah berkaitan tempat penginapan. Ianya tentu sekali akan memotivasikan mereka untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang dan seterusnya menjadi graduan yang berdaya saing serta berupaya pula kembali menyumbang kepada Universiti ini pada masa hadapan sebagai alumni yang prihatin.
Selain itu, pihak pengurusan UMP juga telah menubuhkan satu sekretariat khas untuk menyelaraskan semua urusan berkaitan perancangan inisiatif dan penyaluran sumbangan berkaitan projek Kolej Kediaman Mawaddah bagi memastikan segala gerak kerja berjalan teratur.  
Beliau mengharapkan apabila siap kelak ianya akan menjadi satu model projek wakaf pendidikan yang bukan sahaja boleh diteladani oleh institusi-institusi pendidikan tinggi yang lain, malah boleh turut dikembangkan secara serius oleh kerajaan bagi menggalakkan kesedaran wakaf dan amal jariah dalam kalangan warganegara Malaysia yang prihatin.
Dalam majlis ini menyaksikan Timbalan Yang DiPertua MUIP, Dato’ Sri Wan Haji Abdul Wahid Haji Hassan menyampaikan sumbangan Tabung Wakaf berjumlah RM400,000 dan hasil kutipan kutipan MUIP berjumlah 10,915 kepada UMP yang disampaikan kepada Dato’ Dr Daing Nasir. Manakala Bendahari UMP, Zainuddin Othman turut menyampaikan sumbangan Tabung Wakaf UMP sebanyak 91,767.50 hasil sumbangan warga UMP dan orang ramai untuk pembinaan kolej kediaman ini.  Lebih 2000 tetamu hadir sama dalam meraikan sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang berlangsung dengan suasana meriah.

Disediakan oleh Bahagian Komunikasi Korporat PNC

Posted By : NUR LAILA BINTI AFANDI Date Posted : 06-07-2017, 16:44:48