UMP mula tanam herba nilam majukan teknologi berasaskan herba


Maran, 18 Mei- Hasrat Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk membangunkan Taman Bioaromatik Negeri Pahang seluas 180 ekar atau 72 hektar di Maran sebagai pusat penyelidikan berkaitan tumbuhan herba aromatik serta memajukan teknologi berasaskan herba dan produk semulajadi di Negeri Pahang kini menjadi kenyataan dengan terbinanya sebuah plot percubaan seluas dua hektar di tanah milik UMP.

  


 
Pada masa kini terdapat lebih 2000 pokok herba seperti Nilam, Serai Wangi, Palmarosa, Rumput Vertiver dan Gaharu. Lain-lain pokok termasuklah Mahkota Dewa, Tongkat Ali dan Durian Belanda mula ditanam di sini. Dengan dana permulaan yang diperuntukkan di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur Wilayah Pahang (ECERDC) sebuah plot percubaan (trial plot) tanaman herba nilam mula dibangunkan di tapak Projek Taman Bioaromatik Negeri Pahang ini.
 
Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, plot percubaan ini sangat penting bagi memastikan pembangunan Taman Bioaromatik Negeri Pahang ini berjaya mencapai objektif penubuhannya. Beberapa penyelidikan awal kini dijalankan dalam mengenalpasti varieti-varieti, media dan teknik yang sesuai bagi tanaman nilam yang akan ditanam di tapak tersebut.

“Plot percubaan seluas dua hektar ini merangkumi satu unit bangunan pejabat, satu unit bilik mesyuarat, dua unit kediaman pekerja, stor peralatan, ruang kerja, tapak semaian dan juga tapak tanaman yang boleh memuatkan sehingga lima ribu pokok. Selain itu, kerja-kerja pembangunan plot percubaan ini kini sedang giat dijalankan dengan dibantu seorang Pegawai Penyelidik dan dua orang pekerja ditempatkan dalam menjalankan operasi,” katanya yang hadir melawat plot percubaan ini. Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Mashitah Mohd Yusoff dan Ketua Timbalan Pendaftar, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Datin Fazia Ali.

     


Dalam menjadi pusat penyelidikan berkaitan tumbuhan herba aromatik secara sistematik dan komprehensif serta memajukan teknologi berasaskan herba dan produk semulajadi di Negeri Pahang, UMP telahpun menjalinkan kerjasama dengan Syarikat Gaya Naturals Sdn. Bhd dari Sabah yang merupakan salah satu dari pengeluar utama minyak nilam di dunia. Kerjasama ini melibatkan perkongsian pengetahuan dan pengalaman dalam membantu UMP untuk membangunkan projek industri nilam di taman ini.

Kerjasama ini termasuklah membekalkan anak benih untuk penanaman pokok nilam, jualan minyak nilam dan pengeluaran produk-produk hiliran, latihan, perundingan dan pemasaran. Keterlibatan Gaya Naturals Sdn Bhd bersama UMP dalam pembangunan Taman Bioaromatik Negeri Pahang yang dirancang sebagai sebuah Pusat Perniagaan Pertanian  bakal  meningkatkan penyertaan sektor awam, swasta dan rakyat dalam pembangunan industri pertanian, khasnya, herba aromatik.



Posted By : NUR LAILA BINTI AFANDI Date Posted : 18-05-2017, 17:19:33