UMP Kaji Tembikar Terenang Warisan Pahang


Kuantan, 19 April - Ramai yang tidak menyedari kewujudan Terenang yang merupakan tembikar yang dijadikan tempat meletak dan menyimpan air oleh masyarakat terdahulu dikatakan berasal dari Kampung Pasir Durian Kuala Tembeling yang letaknya kira-kira stu jam perjalanan ke bandar Jerantut di Pahang.

Penghasilan Terenang secara tradisional menggunakan teknik cubit dan picit tetapi kaedah ini memakan masa untuk disiapkan.  Pengenalan kepada kaedah penghasilan moden yang diperkenalkan oleh pihak Kraftangan Malaysia telah memberi perubahan terhadap pengeluaran Terenang.  

Teknik acuan yang dipraktik membolehkan Terenang dikeluarkan dalam jumlah yang banyak dalam masa yang singkat dan menjimatkan kos. Penggunaan acuan dari Plaster of Paris juga membuatkan Terenang boleh dikeluarkan dalam variasi saiz yang bersesuaian dengan fungsi dan permintaan pelanggan.

Menurut pensyarah Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan Kuala Lipis, Kuala Lipis, Mohd. Zamani Mohd. Nor Peah yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Kedoktoran Teknologi Kemanusiaan Jejak Warisan Pahang di Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK) berkata, beliau memulakan kajian mendalami warisan Terenang ini sejak tahun 2012.

“Secara asasnya reka bentuk Terenang tradisional tidak mempunyai tapak dan tudung.  Dua rekaan ini disertakan oleh para pengiat dari Kampung Temin Kraf untuk menambahkan keindahan Terenang.  Penghasilan Terenang secara tradisional juga tidak mempunyai saiz yang tetap tetapi pengiat dapat membuat anggaran saiz yang sesuai berdasarkan pengamatan dan fungsi yang dikehendaki.  Pengiat terakhir yang aktif dari Kampung Pasir Durian, Hajah Noriah Mat Ali sering menghasilkan Terenang yang bertudung tetapi mempunyai ciri-ciri yang menampakkan kemahiran kerja tangan beliau,” katanya.

Di Temin Kraf pembuatan Terenang secara umumnya dihasilkan dalam 3 jenis reka bentuk iaitu tanpa penutup dan tanpa tapak, dengan penutup sahaja dan dengan penutup serta tapak. Kaedah penghasilan moden yang dibantu dengan teknologi moden memudahkan Terenang dihasilkan dengan pelbagai saiz mengikut fungsi, keperluan dan permintaan.  

Bagi pengusaha Terenang, Mohammad Zakaria, 48 berkata, penggunaan teknik acuan membolehkan Terenang dihasilkan dengan jumlah yang besar dalam tempoh yang singkat sekitar satu hari.  Ini menjimatkan masa dan memberi ruang kepada pengiat memberi tumpuan terhadap aspek dekorasi pada permukaan Terenang. Jika dahulu Terenang hanya dihias dengan motif-motif tertentu yang dihasilkan melalui kaedah terapan kayu tera tetapi pada masa kini hiasannya boleh dipelbagai. 

Selain itu, teknik melicau merupakan satu kaedah yang dapat menaikkan keindahan Terenang. Teknik ini menjadikan permukaan Terenang kelihatan seperti disaluti kaca dan boleh disediakan dalam pelbagai warna. Selain teknik melicau, Terenang juga boleh dihiasi dengan teknik ukiran dan diwarnakan. Penerapan pelbagai jenis hiasan dapat menaikkan nilai Terenang dan mewujudkan permintaan baru dalam kalangan masyarakat.

Perkembangan penghasilan Terenang di negeri Pahang kebelakangan ini semakin merisaukan kerana hanya ada satu pengiat yang bergerak iaitu Temin Kraf setelah Hajah Noriah berhenti sepenuhnya atas faktor kesihatan dan usia.

Pada masa ini beliau bersama rakannya, Zainal Idris mengusahakan Terenang dengan menyediakan kraftangan ini mengikut tempahandan kadang-kadang menerima kunjungan pihak luar termasuk orang kenamaan dan pengunjung dalam dan luar negara.

Namun demikian, situasi pada masa ini sangat membimbangkan kerana Terenang merupakan warisan kerja tangan yang diperturunkan dari generasi terdahulu akan berakhir begitu sahaja tanpa ada pewaris. Walaupun ada usaha berterusan dari pihak Kraftangan Malaysia seperti menubuhkan Institut Kraftangan Negara yang menyediakan kursus penghasilan tembikar peringkat Diploma tetapi impaknya tidak berubah terutamanya terhadap tembikar Terenang. 

Dalam pada itu, pensyarah PBMSK, Dr. Hasnah Hussain berkata, UMP telah menubuhkan kluster Jejak Warisan Pahang sebagai usaha mengkaji sejarah warisan di negeri Pahang ini agar dapat menjadi rujukan masyarakat setempat. Selain itu, katanya satu Seminar Warisan Terenang bakal dianjurkan sekitar bulan Ogos nanti bagi mengangkat kembali warisan Terenang ini ke peringkat antarabangsa. Pihaknya mengharapkan Kerajaan Negeri Pahang dapat melakukan sesuatu seperti yang dilaksanakan terhadap perusahaan Tenun Pahang yang menjadi barangan kraftangan Eksklusif.

Disediakan Bahagian Komunikasi Korporat PNC



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 28-04-2017, 11:34:24