Sukarelawan UMP bersama Masyarakat Orang Asli Jahai


  

Kelantan, 26 Februari -  Seramai 60 orang mahasiswa Kelab Sains Kemanusiaan (SCINITY) Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni dan Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan (JAKOA) menyelami kehidupan masyarakat orang Asli Jahai di Jeli Kelantan dalam program Kilauan Mutiara Asli.

Program yang diadakan selama tiga hari dengan bertemakan “Memasyarakatkan Teknologi” ini  memberi fokus terhadap aktiviti celik IT dan kepentingan pendidikan dalam   membangunkan masyarakat. Sepanjang program ini kanak-kanak orang Asli Jahai diperkenalkan dengan penggunaan komputer riba dalam proses pembelajaran mereka. Kanak-kanak ini diajar menggunakan komputer riba khususnya perisian Microsoft Word dan ternyata mereka sangat teruja sepanjang aktiviti ini.

Menurut pengarah program ini, iaitu Nik Nur Asyikin Nik Man dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, berkata selain berusaha untuk memperkenalkan teknologi kepada masyarakat, program ini juga merangkumi beberapa aktiviti lain seperti kepentingan menjaga kesihatan, kebersihan dan penampilan diri.

“Keseimbangan aspek penggunaan teknologi dan pembangunan sahsiah diri akan menyumbang kepada kehidupan yang lebih sempurna. Mahasiswa juga dapat bersama-sama pelajar di SK Sungai Rual untuk memberi suntikan semangat dan motivasi untuk cemerlang dalam pelajaran,” katanya.

  

Aktiviti di perkampungan orang asli ini bertambah menarik apabila mahasiswa kelab ini bersama-sama keluarga angkat mereka telah menanam sebanyak 20 buah pokok buah-buahan di sekitar perkampungan ini sebagai simbolik kepada usaha memperkenalkan kepentingan teknologi hijau dan kelestarian penjagaan alam sekitar untuk generasi akan datang.

Bagi anak penduduk di sini, Balqis Mohammad, 14, beliau berasa sangat gembira dan teruja sepanjang program ini berlangsung. Bahkan beliau bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading khususnya di universiti ini.

Hadir sama  pensyarah Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK), Dr. Jamal Rizal Razali, Husna Hashim serta Jamilah Bebe Mohamad sebagai penyelaras dalam menjayakan program ini.

 

Disediakan oleh Jamilah Bebe Binti Mohamad dari Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan dan sutingan Bahagian Komunikasi Korporat



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 07-03-2017, 15:47:08