UMP jalin kerjasama dengan PCHEBUST China dalam penawaran program dwiijazah


Pekan, 30 Disember- Universiti Malaysia Pahang (UMP) memetrai perjanjian dengan Polytechnic College of Hebei University of Science & Technology (PCHEBUST)  dalam menawarkan program akademik. Menerusi program kerjasama akademik ini, UMP bersama pihak PCHEBUST akan menawarkan program dwiijazah melibatkan tiga program iaitu Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Awam, Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Elektrik (Elektronik) dan Sarjana Muda Sains Komputer (Sistem Komputer & Rangkaian) dengan kepujian.

Majlis menyaksikan Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim dan   Setiausaha Cawangan PCHEBUST, Ma Yinfeng menandatangani memorandum persefahaman (MoA) yang turut dihadiri Pengarah Pejabat Antarabangsa  HEBUST,  Liu Jia dan  Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Rosli Mohd Yunus.

 

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dato' Dr. Rosli Mohd Yunus, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Mashitah Mohd Yusof, Dekan Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian (FSKKP), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamil , Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam, Dr. Mohamad Idris Ali dan Pengarah Pusat Kebudayaan dan Bahasa Mandarin (MLCC), Yong Ying Mei.

Menurut Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir, sebagai sebuah universiti teknikal yang komited dalam memperkukuh hubungan baik antara universiti di persada antarabangsa.

“Hubungan kerjasama antara UMP dengan institusi pendidikan di China telahpun berjalan sejak tujuh tahun sehingga tertubuhnya MLCC hasil hubungan baik dengan  Hebei University pada 2011. UMP juga akan berkongsi kepakaran dalam mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dengan memperkenalkan program Preparatory Intensive English (PiE),” katanya.

 

Tambah beliau, hasil daripada program kerjasama akademik ini juga akan memberi peluang kepada UMP dalam meningkatkan jumlah enrolmen pelajar antarabangsa di universiti ini serta mempromosikan nama UMP di peringkat antarabangsa terutamanya di Negara China.

Selain itu, melalui program kerjasama akademik ini, ianya akan meningkat nilai lepasan graduan UMP dalam industri pasaran kerja sama ada di Malaysia ataupun di China pada masa akan datang.

Ma Yinfeng pula berkata PCHEBUST telah mempunyai hubungan baik bersama UMP sejak beberapa tahun lalu. Kerjasama ini bukan sahaja dari segi akademik malah bagi program penyelidikan, mobiliti dan pertukaran staf Selain UMP di Malaysia PCHEBUST juga mempunyai kerjasama dengan beberapa negara lagi seperti Kanada, Amerika dan beberapa negara lagi.

Pada masa ini PCHEBUST yang terletak di Zone Pembangunan Teknologi Tinggi, Shijiazhuang Timur, Hebei Province mempunyai  seramai 15,000 orang yang sedang mengikuti pelbagai program prasiswazah di bawah seliaan Hebei University of Science and Technology yang merupakan universiti yang utama di Hebei Province, China. 

 



Posted By : NOR FADZILLAH BINTI ZULKIPLI Date Posted : 30-12-2016, 16:59:33