UMPH meterai kerjasama dengan Syarikat Jepun dalam teknologi makanan


  

Kuantan, 13 Disember- UMP Holdings Sdn.Bhd (UMPH) yang merupakan syarikat milik sepenuhnya Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Jepun, Nansatsu Shokucho Co.Ltd (Nansatsu) yang merupakan syarikat pengeluar ayam halal Ajinatori yang terkenal di Jepun.

Dalam majlis ini Menteri Besar Pahang, Dato Sri Diraja Haji Adnan Haji Yaakob hadir menyaksikan acara menandatangani MoU antara UMPH yang diwakili Pengarah Urusan UMPH, Syed Mohamad Hamzah Al Junid Syed Abdul Rahman dan Naib Canselor UMP, Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim manakala Nansatsu diwakili Presidennya, Yoshiro Tokumitsu dan Pengarah Ekskutif Jabatan Jualan Nansatsu, Hiroshi Hiro Kuroki.

Hadir sama dalam majlis sempena makan malam anjuran UMPH yang berlangsung di Zenith Hotel Kuantan ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab. Moin, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, DatoHaji Shafik Fauzan Haji Sharif dan Dato’ Ahmad Azmey Haji Abu Talib.

Menurut Syed Mohamad Hamzah,  kerjasama ini mula terjalin hasil kunjungan  satu kumpulan dari kerajaan negeri Pahang yang diketuai Dato Sri Haji Shahiruddin bersama pihaknya dan kumpulan penyelidik UMP melawat Kilang Ayam Nansatsu di Bandar Industri Hioki Kagoshima di Jepun.

 

“Kilang pemprosesan ayam ini terbahagi kepada dua iaitu kawasan penyembelihan dan pembersihan ayam serta kawasan pemprosesan daging ayam. Kilang ini mempunyai kapasiti pengeluaran ayam sebanyak 32 ribu ekor sehari. Manakala jenis ayam yang digunakan adalah jenis ayam pencen atau ayam kampung memandangkan rasa dan tekstur yang lebih kenyal dan sedap,” katanya berkongsi pengalaman semasa menyertai lawatan tersebut.

Pembangunan projek fasa pertama yang bakal dijalankan dengan kerjasama UMP dengan kerajaan negeri Pahang ini akan memberi manfaat kepada lebih 200 peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat  setempat.

UMP juga bakal menerima manfaat dengan adaptasi penggunaan teknologi baharu  dalam bidang pemprosesan ayam dan produk hiliran melalui teknologi  daripada Jepun selain dapat menerapkan budaya kerja Jepun yang amat mementingkan kebersihan dan disiplin kerja yang tinggi.  Selain itu penyelidik UMP juga berpeluang menjalankan penyelidikan terutamanya dalam bidang pemprosesan makanan halal dan kajian penghasilan makanan yang berprotein tinggi.

 

Berita disediakan oleh Bahagian Komunikasi Korporat dan gambar oleh Mohd Waqiyuddien Ayub dari UMPH.


 

 

 

 



Posted By : NOR FADZILLAH BINTI ZULKIPLI Date Posted : 21-12-2016, 11:40:29