Majlis jasa dikenang erat hubungan baik


Pekan, 19 Disember - Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengadakan  Majlis Jasa Dikenang 2016 bagi menghargai  empat warga kerja universiti ini yang telah bersara dalam perkhidmatan pada tahun ini. Majlis dianjurkan Jabatan Pendaftar ini berlangsung di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak UMP Pekan.

Mereka ini terdiri daripada Profesor Madya Dr. Mohd Ghani Awang, Pensyarah Kanan, Ir. Zulkeflee Khalidin, Pustakawan Kanan, Nazatul Shima Baroji dan Pegawai Keselamatan Kanan, Hamdan Ahmad.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, pihak kerajaan sentiasa menitikberatkan aspek pasca persaraan dalam kalangan para pesara perkhidmatan awam bagi memastikan bahawa golongan ini sentiasa produktif dalam konteks kemampanan sosioekonomi dan khidmat kemasyarakatan mereka dalam dimensi yang lebih luas dan berbeza berbanding sebelum persaraan.

Katanya, walaupun persaraan merupakan fasa terakhir yang melengkapkan alam perkhidmatan seorang penjawat awam, namun ini tidaklah bermakna bahawa ruang untuk menyumbang khidmat dan bakti terhenti di situ sahaja.

”Dalam hubungan tersebut, pihak UMP komited untuk memastikan bahawa para pesara Universiti ini menerima perhatian yang sewajarnya, khususnya dalam aspek kebajikan dan kesejahteraan mereka dengan memudahcara penyaluran faedah-faedah persaraan sebagaimana yang diperuntukkan oleh kerajaan,” katanya.

Ujarnya pihak pengurusan juga ingin melihat supaya hubungan para pesara terus akrab dengan universiti ini, tanpa mengira selama mana usia persaraan atau di mana jua mereka berada.

Beliau juga berkata, mereka ini mempunyai pengalaman yang luas dan jasa serta khidmat bakti mereka tidak harus berakhir apabila mereka bersara dan perlu terus menyumbang khidmat dan bakti kepada masyarakat setempat.

Sementara itu, Ir Zukeflee Khalidin yang berucap mewakili pesara lain turut menyampaikan rasa syukur dan terima kasih kepada phak pengurusan UMP dalam menganjurkan pertemuan ini. Beliau melahirkan rasa bertuah kerana pernah menjadi sebahagian dari keluarga UMP.

Pada masa yang sama juga, majlis turut mengabadikan kenangan buat seorang warga kerjanya yang telah kembali ke rahmatullah tatkala masih dalam perkhidmatan di Universiti ini iaitu Allahyarham Abdul Aziz Abdul Wahab yang telah berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir di Jabatan Pembangunan & Pengurusan Harta.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Rosli Mohd Yunus, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Dr. Mashitah Mohd Yusoff, Pendaftar, Abd Hamid Majid, Bendahari, Zainuddin Othman dan Penasihat Undang – Undang, Datin Hajah Wan Maizurina Wan Othman.

 

Disediakan Oleh, Siti Sarah Mohamad Rajimi, Bahagian Komunikasi Korporat.



Posted By : NOR FADZILLAH BINTI ZULKIPLI Date Posted : 20-12-2016, 16:28:04