Huffaz-M bantu dalam menghafal al-Quran


Pekan, 1 Disember- Kajian yang dijalankan penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) terhadap peratusan pelajar yang tinggi mengambil Sijil Tahfiz Malaysia (STM) berbanding peratusan yang lulus agak kecil serta melihat kepada kaedah tradisional yang masih menjadi method utama di tahfiz-tahfiz persendirian menimbulkan idea bagi penghasilan Huffaz-M yang merupakan salah satu teknologi alat bantuan bagi proses hafazan. 

Pensyarah Pusat Bahasa Moden & Sains Kemanusiaan (PBMSK), Dr Rashidi Abbas berkata, Huffaz-M merupakan  salah satu  kaedah hafazan berbantukan aplikasi teknologi terkini untuk mengekalkan hafazan. Huffaz-M juga menyediakan kit panduan hafazan berkesan untuk para huffaz dan buku sebagai rujukan semua.

 

“Ianya dapat meningkatkan proses hafazan secara efektif dan berkesan serta membantu Madrasah,Maahad,Institut tahfiz melahirkan lebih ramai huffaz al-Quran. Peningkatan bacaan hafazan ini termasuklah kaedah untuk hafazan yang baru (dars jadid), kaedah mengekalkan hafazan yang lepas (sabiq)dan kaedah mengulang-ulang bacaan (taqrir/murajaah),” katanya.

Tambah beliau, ketiga-tiga bentuk hafazan ini perlu dikuasai oleh seorang hafiz. Kegagalan para hufazmenguasai ketiga-tiga sistem ini mengakibatkan mereka gagal untuk menghafaz al-Quran pada tahap yang maksimum. 

Selain itu, Huffaz-M juga merupakan sebuah aplikasi yang boleh dimasukkan (install) ke dalam telefon pintar (smartphone) melalui perisian yang boleh dimuat turun dari Google Playstore bagi memudahkan pelajar.

 

Bagi pelajar, mereka perlu mempunyai smart phone untuk memuat naik aplikasi ini dan boleh melihat dan mendengar bacaan yang betul dari qari serta dapat mengulangi kembali ayat yang belum dikuasai atau dihafal. 

Percubaan untuk mengalikasikan semua method di tahfiz dan dimuat naik dalam telefon pintar untuk kegunaan semua maahad tahfiz dijalankan bermula pada bulan Disember 2014 dan siap sepenuhnya pada bulan Januari 2016 lalu. Dianggarkan kos bagi satu set peranti ini adalah RM 200 termasuk dengan Android Apps.

Penemuan ini bukan sahaja dapat membantu  pelajar dapat meningkatkan dan mengekalkan hafazan dan malah ianya juga mudah dibawa ke mana sahaja. Dr Rashidi berharap agar apikasi ini dapat dikembangkan dan dimanfaatkan terutama kepada pelajar-pelajar tahfiz dan Maahad Tahfiz di seluruh Malaysia.

Penyelidikan ini juga diiktiraf apabila meraih pingat emas di Creation, Innovation, Technology & Research Exposition (Citrex ’16) dan pingat gangsa di  International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX’16). 

Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris dari Bahagian Komunikasi Korporat. 



Posted By : NOR FADZILLAH BINTI ZULKIPLI Date Posted : 02-12-2016, 16:56:13