In-Smartive UMP Bentuk Kepimpinan Pengawas Sekolah

Gua Musang, 31 Januari – Seramai 70 orang  pengawas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chiku 2 menerima sentuhan istimewa apabila berpeluang bersama-sama dengan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) melalui Kem Interaksi Pemimpin Muda (In-Team) selama tiga hari baru-baru ini.
Dengan mensasarkan pembinaan keyakinan diri, kepimpinan bestari dan kemahiran membuat keputusan, pelaksanaan In-Team yang diterajui seramai 30 fasilitator mahasiswa dari Kelab In-Smative UMP diisi dengan pelbagai modul interaktif yang direkabentuk berdasarkan iklim dan keperluan semasa pihak sekolah.
Menurut Pengurus Projek, Shahrul Azri Ibrahim, 20, SMK Chiku 2 merupakan penerima manfaat pertama bagi inisiatif kelolaan In-Smartive untuk tahun 2015 dan merupakan sekolah pertama di Jajahan Gua Musang yang bekerjasama dengan In-Smartive untuk menganjurkan program pembinaan kepimpinan pelajar setakat ini.
“Ini merupakan satu isyarat positif dalam konteks penyerlahan jenama UMP dan komitmen mahasiswanya bagi menggerakkan agenda kesukarelawan yang berteraskan pendidikan”, tambah Shahrul Azri yang juga merupakan mahasiswa tahun tiga di Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik.
Ujarnya lagi, bagi memastikan keberkesanan pengisian sepanjang In-Team berada di tahap maksimum, para peserta telah didedahkan dengan modul-modul yang mencabar kelasakan minda dan ketahanan jiwa bagi membentuk budaya kepimpinan cemerlang dalam kalangan mereka. Dengan tema “Satu Untuk Semua, Semua Untuk Satu”, modul-modul yang diberi penekanan khusus ialah “Mulanya Di Sini”, “Celik Minda”, “D.I.C.E”, “The Burj”, “Last Man Standing” dan “Hati Ke Hati”.  
Bagi dua pelajar Tingkatan 4 yang menerima Anugerah Peserta Terbaik, Mohamad Shahril Aimin Hussin, 16 dan Natasha Muhamad, 16, pendedahan yang diperoleh sepanjang In-Team benar-benar membuka mata mereka dan rakan-rakan mengenai perspektif sebenar kepimpinan cemerlang dan impaknya kepada iklim kondusif di sekolah. Kedua-duanya turut sependapat bahawa pendekatan modul yang menekankan aspek amali kepimpinan membolehkan para peserta memahami kepentingan mendahulukan akal berbanding emosi dalam menunaikan amanah sebagai pengawas di sekolah.
Hadir merasmikan penutupan In-Team ialah Pengetua SMK Chiku 2, Haji Husnuddin Hashim. Sambil mengalu-alukan kesediaan UMP untuk membantu SMK Chiku 2 menggilap potensi kepimpinan pelajarnya, Haji Husnuddin turut membayangkan komitmen pihaknya untuk terus bekerjasama dengan In-Smartive untuk penganjuran program seumpamanya pada tahun-tahun akan datang. Turut hadir dalam majlis perasmian penutup tersebut ialah Wakil Penasihat In-Smartive, Izzah Hayati Yahya dan Presiden In-Smartive, Ahmad Zarif Ahmad Fauzi.
Untuk rekod, selain SMK Chiku 2, sekolah-sekolah di negeri Kelantan yang telah menerima manfaat daripada inisiatif In-Smartive setakat ini termasuklah SMK Ayer Lanas dan SMK Kuala Balah di Jajahan Jeli dan Sekolah Kebangsaan (SK) Jambu Lawar di Jajahan Machang. Sebanyak 30 projek kesukarelawan pendidikan telah dirancang oleh In-Smartive di seluruh negara sepanjang tahun 2015.
Berita disediakan oleh Penasihat Kelab In-Smartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain yang juga merupakan Ketua Penyelidik Kepada Naib Canselor dan Pensyarah Undang-undang di Fakulti Pengurusan Industri UMP.

Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 06-02-2015, 16:27:21