Mahasiswa In-Smartive bersama masyarakat Kampung Jambu Lawar


Machang, 25 Januari –Seramai 40 mahasiswa daripada Kelab In-Smartive Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjayakan Kem Interaksi Pemimpin Muda (IN-TEAM) melibatkan seramai 145 orang pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Jambu Lawar di Machang Kelantan baru-baru ini.

Kem kepimpinan selama tiga hari ini merupakan inisiatif sulung Kelab In-Smartive sebagai membuka tirai tahun ini dengan melibatkan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Machang dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Jambu Lawar. Lebih bermakna lagi, permukiman mahasiswa UMP di SK Jambu Lawar kali ini turut diisi dengan aktiviti melibatkan komuniti setempat.

Menurut Presiden Kelab In-Smartive yang juga mahasiswa tahun empat Fakulti Teknologi (FTech), Asraf Ahmad, 23, inisiatif ini merupakan kesinambungan koloborasi melibatkan kelab ini dengan SK Jambu Lawar yang masuk tahun ketiga pelaksanaannya membabitkan  dua siri Projek Kilauan Mutiara bersama pelajar sekolah ini sejak tahun 2012 lagi.

"Para peserta yang terdiri daripada Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber (PSS), Pengawas Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), Pengawas Briged Bestari, Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas mengikuti pelbagai modul khusus sepanjang IN-TEAM seperti “Mulanya Di Sini”, “Tak Kenal Maka Tak Cinta”, “Explorace”, “Last Man Standing”, “Muhasabah Diri” dan “Inspire”, " katanya.

Manakala Mohd Adib Rahman Yusof, 20, mahasiswa tahun tiga Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP) yang bertindak sebagai pengurus projek menjelaskan, antara aktiviti melibatkan komuniti ini termasuklah gotong-royong di penempatan warga emas Rumah Sejahtera Pondok Hidayah II dan perarakan sempena sambutan Maulidurrasul 1435 Hijrah di sekitar Kampung Jambu Lawar.

Hajah Safiah Safie, 70, yang merupakan penghuni Rumah Sejahtera Pondok Hidayah II menyambut baik kesediaan mahasiswa UMP untuk turun padang menyantuni warga pondok pengajian agama untuk warga emas tersebut melalui aktiviti gotong-royong yang dijalankan.

Sementara itu, Penyelia Rumah Sejahtera Pondok Hidayah II, Haji Ghazali Isa, 54, menyatakan bahawa pihaknya mengharapkan kesinambungan aktiviti bersama Kelab In-Smartive pada masa hadapan.

 

Hadir merasmikan majlis penutup Kem IN-TEAM ialah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Machang, Abdul Wahab Mohamed. Beliau turut menyampaikan Anugerah Peserta Terbaik (Lelaki) kepada pelajar tahun enam, Ahmad Izzad Azaman dan Anugerah Peserta Terbaik (Perempuan) kepada Nur Hasni Hussain.

Hadir sama dalam majlis ialah Guru Besar SK Jambu Lawar, Haji Mohd Yusri Yaakob; Pengerusi PIBG SK Jambu Lawar, Haji Abdullah Mohd Nor dan Ketua Penyelidik Naib Canselor yang juga Penasihat Kelab In-Smartive, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain.
 
Terletak tujuh kilometer dari bandar Machang, SK Jambu Lawar yang dibuka sejak tahun 1935 merupakan antara beberapa sekolah di negeri Kelantan yang terpilih sebagai Sekolah Bestari Luar Bandar. Selain sekolah ini, dua sekolah lain di negeri ini yang telah menerima manfaat hasil kolaborasi dengan Kelab In-Smartive UMP ini adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas dan SMK Kuala Balah yang terletak di Jajahan Jeli.

 

Foto oleh Mohamad Eliyass Jamaruppin dan berita disediakan oleh Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain, Ketua Penyelidik Naib Canselor dan Pensyarah Undang-undang, Fakulti Teknologi merangkap Penasihat Kelab In-Smartive



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 28-01-2014, 16:15:59