100 Konvoi Bermotosikal Mahasiswa UMP Dekati Masyarakat Desa


 

Kuantan, 22 April- Seramai kira-kira 100 orang mahasiswa dan staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai Konvoi Jelajah Anak Malaysia anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (Saffad) baru-baru ini.

Acara pelepasan konvoi disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Yuserrie Zainuddin tepat pada jam 8.30 pagi di UMP kampus Gambang.

Peserta bergerak memulakan perjalanan menaiki motosikal dari UMP menuju ke Kampung Ganchung Hulu sebelum meneruskan destinasi ke Kampung Peramu Jaya dan berakhir di Kg. Sungai Tiram.

Penolong Pegawai Tadbir dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (Saffad), Mohd Ferdaus Musa yang mengetuai program berkata, peserta singgah di beberapa kampung bagi bertemu dengan masyarakat kampung dan menjalankan aktiviti kebajikan serta menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang kurang berkemampuan.

"Program sehari ini juga mengajak generasi muda bersama-sama menangani gejala sosial terutama lumba haram dan penyalahgunaan dadah di kalangan belia selain memberi pendedahan terhadap aktiviti  kemasyarakatan" katanya.

 

 

Menurutnya, selain turun padang menghulurkan sumbangan kepada 50 keluarga yang dikenalpasti, mahasiswa turut mempromosikan universiti dan memberi galakan kepada golongan pelajar yang tinggal di luar bandar ini untuk meningkatkan pencapaian akademik untuk masa depan yang cemerlang.

Sementara itu, pelajar Tahun 2 dari Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA), Muhammad Zulhazmi Mansor yang meminati program kemasyarakatan seperti ini berkata, beliau berpeluang menyelami kehidupan masyarakat di sekeliling yang memerlukan pertolongan dan bantuan untuk menyara kehidupan.

Beliau berkata, walaupun sedikit keletihan para peserta juga turut mengambil bahagian dalam sukan futsal persahabatan yang diadakan di Dewan Futsal Kampung Tiram bagi mengeratkan hubungan baik dengan belia kampung.

Bagi penduduk kampung, Aminah Yoosuf, 51 yang telah menetap Kampung Tiram lebih 35 tahun berkata, program ini dapat mendekatkan anak-anak muda dengan generasi muda serta warga tua di perkampungan ini.  

 

Begitu juga dengan penerima sumbangan, Abd. Hamid Ismail, 86 yang sangat berbesar hati menerima kunjungan mahasiswa universiti ke rumahnya.

Program yang sama turut dimeriahkan dengan kehadiran Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE), Profesor Dato’ Dr. Mortaza Mohamed  dalam menjayakan  siri syarahan Profesor Bersama Masyarakat di Kampung Tiram.

 

Disediakan Oleh Unit Perhubungan Awam & Media Bahagian Komunikasi Korporat PNC



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 29-04-2013, 14:18:11