Semaian Budi Mahasiswa UMP di Arau


 

 

Arau, 8 April – Cuti pertengahan semester dua sesi akademik 2012/2013 kali ini meninggalkan kenangan lebih bermakna di kalangan 37 mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang menyertai Projek Semaian Budi 3.0 anjuran Kelab In-Smartive UMP yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Nangka dan Pusat Koreksional Perlis dekat sini baru-baru ini.

Projek yang  mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Perlis, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perlis, Jabatan Penjara Malaysia dan Persatuan Isteri, Anak dan Anggota Perempuan Jabatan Penjara Malaysia (PERSIAP) ini merupakan inisiatif sulung Kelab In-Smartive UMP di negeri tersebut. 

Menurut Pengurus Projek, Amanina Farhana Ahmad, 21 yang juga mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UMP, projek Semaian Budi 3.0 ini memberi tumpuan kepada dua sasaran penerima manfaat iaitu para pelajar tahun 5 dan 6 di SK Guar Nangka yang berlangsung pada 5 dan 6 April 2013 dan diikuti permukiman di Pusat Koreksional Perlis bersama warga PERSIAP pada 6 hingga 8 April 2013.  

"Pelbagai aktiviti interaktif mengisi atur cara projek di SK Guar Nangka yang merupakan antara sekolah rendah paling cemerlang di Perlis. Ini termasuklah sesi Tak Kenal Maka Tak Cinta, The Burj, Timeline, Story Behind The Paper, Jendela Jauhari, Muhasabah Diri, Invent!, Radio Buruk dan Last Man Standing," katanya. 

 

Lebih menarik, para peserta berpeluang merasai pengalaman menikmati hidangan dalam talam bersama-sama dengan guru dan fasilitator. Selain itu, para peserta juga turut berpeluang mendengar ceramah khas bertajuk ‘Di Sebalik Tirai Besi’ yang disampaikan oleh Inspektor Mohd Izham Fadil dari Pusat Koreksional Perlis.

Mengakhiri pengisian Projek Semaian Budi 3.0, para mahasiswa UMP berpeluang menerima pendedahan mengenai latar belakang, fungsi dan peranan Pusat Koreksional Perlis dan turut menyantuni warga PERSIAP di sana melalui pelbagai aktiviti termasuklah sukaneka, kenduri kampung dan gotong-royong. 

Pengerusi PERSIAP Pusat Koreksional Perlis, Siti Musliha Harun mengalu-alukan komitmen UMP dalam penganjuran projek ini dan berharap supaya ianya diteruskan pada masa akan depan di sana.

Galakan sama turut diberikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis, Mansor Jusoh semasa merasmikan penutupan projek ini. “Banyak lagi peluang kerjasama dalam pembangunan komuniti yang boleh diteroka pihak UMP dan Kerajaan Negeri Perlis sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap inisiatif ini”, kata beliau dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Ketua Unit Perhubungan & Pendaftaran JPN Perlis, Yusuff Man.
 
Turut hadir ialah Guru Besar SK Guar Nangka, Noorizah Shuid, Ketua Penyelidik Naib Canselor merangkap Penasihat Kelab In-Smartive UMP, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain dan Presiden Kelab In-Smartive, Mohd Jamil Mohd Ja’afar.
 

Berita dan gambar disediakan oleh Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain, Pensyarah di Fakulti Teknologi.


 



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 15-04-2013, 10:29:35