40 ribu pengunjung serbu Karnival Pengajian Tinggi Negara 'JOM MASUK U' di Kuantan


 

 

Kuantan, 17 Mac- Hampir 40 ribu pengunjung di kalangan pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat hadir mendapatkan manfaat dan informasi terkini berkaitan permohonan masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT), Politeknik dan Kolej Komuniti, maklumat akreditasi serta bentuk pembiayaan permohonan pelajar bersempena  Karnival Pengajian Tinggi Negara 2013 (KPTN) yang berkampung selama dua hari bertempat di  Sultan Ahmad Shah International Convention Center (SASICC) Kuantan baru-baru ini.


Di antara yang menarik adalah pameran 1Dream2U, kuiz, aplikasi dalam talian, seminar sehari peluang pengajian tinggi dan peluang berkunjung menyaksikan 150 ruang pameran dari seluruh institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk agensi berkaitan pendidikan yang  dibuka khas bermula mulai jam 9 pagi hingga 5 petang setiap hari.


 


Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, penganjuran program KPTN bagi tahun ini melibatkan 11 zon mengikut lokasi yang ditetapkan seluruh negara dan sekali lagi Pahang dipilih menjadi tuan rumah serta UMP menjadi urusetia bersama penganjuran oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) .


Katanya, mulai kemasukan pelajar sesi akademik 2013/2014 UMP akan menawarkan dua program baharu iaitu Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Farmaseutikal) dengan Kepujian di bawah Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli dengan kerjasama Institut Technology Tallaght, Republic of Ireland.


“Satu lagi adalah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Pengurusan Insfrastruktur) dengan Kepujian di bawah Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam dengan kerjasama University of Southern Queensland, Australia,” katanya dalam sidang media bersempena penganjuran Jom Masuk U yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Profesor Dato’ Dr. Rujhan Mustafa.


 



Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Ir. Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Mejar (K) Haji Md. Nor Yusof dan Pendaftar UMP, Haji Mustafa Ibrahim.


Katanya, terdapat 32 program akan ditawarkan oleh UMP bagi pengambilan pelajar di peringkat prasiswazah sesi akademik ini, 27 daripadanya adalah program di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan lima program di peringkat Diploma.

Tambah beliau, UMP bakal menawarkan program yang merupakan satu-satunya bidang yang masih baharu untuk memenuhi keperluan negara, iaitu program Dwi- Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perniagaan (Bussiness Engineering) hasil kerjasama UMP dengan Reutlingen University, (RU) Jerman yang bakal ditawarkan pada tahun hadapan.



 

Dato’ Dr. Daing turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian peratusan kebolehpasaran graduan UMP pada tahun lalu yang mencatatkan pencapaian 79 peratus dalam tempoh enam bulan selepas bergraduat dan menjadi idaman pihak industri mahupun agensi kerajaan.

Dalam pada itu, Profesor Dato’ Dr. Rujhan Mustafa turut memaklumkan  KPT telah mengadakan perbincangan dengan pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi cadangan mewujudkan sistem pengesanan graduan yang mampu mengesan jenis pekerjaan dan gaji yang diperolehi bagi graduan selepas melangkah ke alam pekerjaan. Malahan, pada masa ini KPT mensasarkan pencapaian 75 peratus graduan mendapat pekerjaan yang direkod bagi tempoh enam bulan selepas bergraduat.

Sementara itu, pengunjung yang hadir, Nur Ameera Muslim,17 dari SMK Indera Mahkota Kuantan berpendapat karnival ini dapat membantu pelajar memperolehi sumber yang lebih tepat dan memudahkannya memilih program yang bersesuaian untuk meneruskan pengajian. Begitu juga bagi Aslah Mohd Shaini,18 dari Pekan yang menyokong penganjuran karnival yang bukan sahaja berkonsepkan ilmu pengetahuan malah kepelbagaian aktiviti termasuk memenangi pelbagai hadiah dan cenderamata.

 

Disediakan Oleh Unit Perhubungan Awam & Media Pejabat Naib Canselor

 



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 19-03-2013, 14:35:22