UMP Jalin Kerjasama dengan Mercedez Benz Malaysia


 

Kuala Lumpur, 8 Mac – Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini mencatat sejarah apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat automotif  berprestij iaitu Mercedez Benz Malaysia apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam memperkukuhkan, mempromosi dan membangunkan khususnya dalam bidang akademik, penyelidikan & pembangunan modal insan.


Objektif utama kerjasama MoU ini adalah untuk melahirkan jurutera yang berkelayakan dan berprestasi tinggi serta  penempatan pelajar UMP di Mercedes Benz.

Kerjasama ini juga adalah pakatan strategik antara UMP dan Mercedes Benz bagi memberi latihan kepada pelajar UMP, keperluan penasihatan dalam urusan akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan. Justeru, dengan adanya kerjasama ini diharap dapat melahirkan graduan-graduan yang lebih kompeten dan berdaya saing di dalam pelbagai aspek. Penempatan latihan industri di Mercedes Benz juga amat bersesuaian kepada pelajar yang mengikuti program pengajian Dwi Ijazah yang ditawarkan di UMP.


Pihak Mercedes Benz sebelum ini telah menawarkan biasiswa kepada pelajar UMP yang mengikuti program pengajian Dwi Ijazah, Hochschule Karlsruhe, University of Applied Sciences Jerman, (HsKA).

Dalam MoU ini, UMP diwakili Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr Daing Nasir Ibrahim dan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr. Ir. Badhrulhisham Abdul Aziz , manakala  Mercedes Benz Malaysia diwakili oleh Mr. Sebastian Streuff Vice President & Managing Director Pekan Plant dan Mr. Matthias Adis, Senior Manager Human Resources.


Menurut Dr. Daing Nasir, “MoU ini merupakan salah satu aktiviti pengantarabangsaan yang merupakan agenda penting yang terkandung di dalam Pelan Strategik Universiti Malaysia Pahang 2011-2015”.

 

”Kedudukan UMP di Pekan yang strategik berdekatan dengan industri automotif yang antaranya melibatkan syarikat DRB-Hicom, Mercedes-Benz, Vollkswagen dan Toyota menjadikan program kerjasama ini mampu memenuhi kehendak pasaran dalam bidang yang semakin berkembang maju ini.”

”Industri automotif di Malaysia masih memerlukan tenaga pekerja yang mempunyai kemahiran tinggi bersesuaian dengan kehendak sektor automotif hari ini dan UMP bakal menyediakan graduan yang kompeten bagi memenuhi keperluan industri,” kata beliau ketika berucap di Majlis Menandatangani MoU yang diadakan di JW Marriot Hotel, Kuala Lumpur.

Beliau menambah, pengantarabangsaan sesebuah institusi pengajian tinggi adalah amat penting dalam merencana hala tuju sesebuah universiti ke arah universiti bertaraf dunia.

”Untuk itu, kerjasama ini dapat memartabatkan lagi kecemerlangan pendidikan dalam usaha menjadikan UMP sebagai hub pendidikan serantau,” kata Daing Nasir.


”Ini dilihat sebagai nilai tambah yang akan diperolehi oleh UMP dan ia boleh dijadikan satu kelebihan kepada UMP untuk mendapatkan calon-calon pelajar yang berpotensi,” katanya.

Turut hadir menyaksikan MoU tersebut iaitu Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang, Dato' Mohd Hilmey Bin Mohd Taib dan Dr. Ernst Röder-Messell (Eanst Ghude Messe), Counsellor For Economics, Commercial & Environmental Affairs, German Embassy Kuala Lumpur.

 

Disediakan Oleh Unit Perhubungan Awam & Media Pejabat Naib Canselor



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 08-03-2013, 11:57:31