132 Pemimpin Pelajar SMK Nenasi Ikuti Kem Interaksi Pemimpin Muda Kelolaan Kelab In-Smartive UMP


Pekan, 28 Februari - Seramai 132 orang pemimpin pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nenasi menerima watikah pelantikan masing-masing setelah selesai mengikuti Kem Interaksi Pemimpin Muda (IN-TEAM) kelolaan Kelab In-Smartive Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada 22 hingga 24 Februari lalu.


Hadir mewakili Naib Canselor UMP, bagi menyempurnakan pentauliahan semua pemimpin pelajar berkenaan ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam & Sumber Alam (FKASA), Leftenan-Kolonel Bersekutu (PA) Prof. Madya Ir. Adnan Zulkiple.


"Sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), UMP turut mempunyai peranan penting dalam membantu sekolah-sekolah setempat untuk mengembangkan potensi dan bakat pelajar mereka, termasuk kepimpinan dan sahsiah diri melalui medium seperti IN-TEAM", tegas Dato' Daing Nasir dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Ir. Adnan dalam majlis tersebut.


Jadual aktiviti IN-TEAM selama tiga hari terisi padat dengan pelbagai modul interaktif yang menguji daya kepimpinan peserta. Ini termasuklah Mulanya Di Sini, Last Man Standing, Who's Who, D.I.C.E, S.W.O.T. Analysis, The Burj dan Light, Camera, Action! yang dikendalikan oleh 40 fasilitator mahasiswa UMP yang diketuai oleh Pengurus Projek, Mohd. Naufal Rasli, 19, dari Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian (FSKKP).


Pengetua SMK Nenasi, Nawawi Ali bersyukur kerana para pemimpin pelajar berkenaan menunjukkan perubahan sikap yang positif setelah menjalani semua modul tersebut. Beliau turut menyatakan hasrat SMK Nenasi untuk terus bekerjasama dengan Kelab In-Smartive UMP untuk menganjurkan siri IN-TEAM seterusnya pada 2014.


Bagi Ketua Pengawas SMK Nenasi, Syafiq Zulkifli, 17,  pengalaman dan ilmu yang ditimba sepanjang IN-TEAM akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memimpin pelajar dengan cekap dan berkesan. "Pendekatan tegas dan modul mencabar yang digunakan olef para fasilitator Kelab In-Smartive UMP mendidik kami untuk bertindak lebih matang sebagai pemimpin yang mendahulukan akal, bukan emosi", kata beliau yang turut menerima Anugerah Peserta Terbaik (Lelaki) IN-TEAM.


Penerima Anugerah Peserta (Perempuan) Terbaik, Mila A/P Debot, 17, pula berpendapat bahawa mesej yang tersirat di sebalik setiap modul yang dilalui benar-benar menguji kewibawaan dan keberkesanan sebagai pemimpin. "Keupayaan minda kami diuji untuk mencari penyelesaian dan membuat keputusan yang realistik dan praktikal dalam apa juga suasana", ujarnya lagi.


Turut hadir menyaksikan pentauliahan seramai 57 pengawas, 36  pengawas pusat sumber serta 39 ketua dan penolong ketua tingkatan itu ialah Naib Pengerusi Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG) SMK Nenasi, Kamaruddin Mahmud, Pegawai Bimbingan & Kaunseling Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pekan, Mohd Nizam Abdul Razak, Ketua Penyelidik Naib Canselor yang juga Penasihat Kelab In-Smartive , Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain dan Presiden Kelab In-Smartive, Mohd Jamil Mohd Jaafar.

 

Disediakan oleh Wan Nazrul Helmy Wan Mohd Zain, Ketua Penyelidik Naib Canselor merangkap Penasihat Kelab In-Smartive dan Pensyarah Undang-undang di Fakulti Teknologi, UMP.

Dimuatnaik oleh Unit Perhubungan Awam & Media,Pejabat Naib Canselor



Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 07-03-2013, 16:52:46